X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Sukan SEA: Pengkritik perlu konstruktif

Sasaran Malaysia merangkul 36 pingat emas tercapai menerusi skuad karate negara yang berjaya meraih pingat emas dalam acara Kumite Berpasukan Lelaki setelah menewaskan pasukan Indonesia pada temasya Sukan SEA 2021, Hanoi. - Foto Bernama, gambar kecil: Lian Ker
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Skan (KBS) mengalu-alukan kritikan berkaitan pungutan pingat negara di Sukan SEA Vietnam, namun kritikan tersebut perlulah suatu yang konstruktif, kata Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Beliau berkata, kritikan berkaitan sasaran juga perlulah pada masa bersesuaian, yang menurut beliau pada ketika sasaran 36 pingat emas itu ditetapkan, selepas merujuk kepada kesemua pihak berkepentingan dan persatuan sukan.

"Sasaran itu bukanlah dibuat sesuka hati atau tanpa rujukan... ia dibuat merujuk kepada jenis sukan yang telah ditetapkan oleh tuan rumah, yang mempunyai kelebihan kerana mereka boleh memilih jenis sukan.

"Setiap Sukan SEA mempunyai ekosistem berbeza. Kami mengalu-alukan kritikan tetapi ia adalah lebih baik jika dibuat pada ketika sasaran itu ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan program Rakan Wira Mahir peringkat negeri Pahang pada Sabtu.

Lian Ker berkata, sebenarnya para atlet negara telah mencatatkan keputusan lebih baik dari yang disasarkan, apabila membawa pulang 39 pingat emas yang sepatutnya diberikan pujian.

Menurutnya, satu lagi fakta yang perlu dinyatakan ialah 60 peratus daripada atlet yang mengambil bahagian pada temasya dwitahunan itu merupakan atlet yang menyertainya buat kali pertama dan 40 peratus daripada mereka berusia di bawah 21 tahun.

Beliau turut menafikan tuduhan Steven Sim dari DAP bahawa Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu cuba menyalahkan atlet atas prestasi negara di Sukan SEA 2022 itu dan menyalahkan kementerian kerana memotong 80 peratus daripada belanjawan untuk penyertaan kejohanan antarabangsa pada Belanjawan 2022.

Mengenai perkara itu, Lian Ker berkata, Ahmad Faizal telah berusaha keras untuk mendapatkan semula apa yang tidak diberikan dalam Belanjawan dan ia sesuatu yang tidak adil untuk menyalahkan beliau kerana belanjawan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

"Kritikan tidak seharusnya bersifat peribadi dan kritikan tidak seharusnya memainkan semula isu yang telah diselesaikan, hanya untuk memulakan serangan baharu yang dibuat tidak berdasarkan fakta sebenar atau tidak menggambarkan situasi sebenar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program Rakan Wira Mahir, Lian Ker berkata, program peningkatan kemahiran itu memberikan belia tempatan kelebihan dalam kerja-kerja berkaitan bidang tersebut dan meningkatkan lagi kefahaman orang ramai berkaitan isu itu.

Beliau berkata, walaupun sebagai pekerja mahir, mereka mungkin akan bermula dengan gaji yang rendah namun peningkatan kerjaya boleh jadi lebih mudah, selain membuka peluang untuk mereka menjadi usahawan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!