Pemilik akaun media sosial, individu tohmah polis dicari

Polis mengesan pemilik akaun media sosial dan individu yang menularkan video dengan kenyataan negatif berkaitan penugasan pihak polis.
Polis mengesan pemilik akaun media sosial dan individu yang menularkan video dengan kenyataan negatif berkaitan penugasan pihak polis.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Polis sedang mengesan pemilik akaun media sosial dan individu menularkan rakaman video dengan dakwaan negatif terhadap anggota polis yang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan e-hailing.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, video yang tular itu dikesan pihaknya pada Khamis lalu.

Menurutnya, satu laporan polis dibuat bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif dan fitnah orang ramai terhadap pihaknya yang sedang menjalankan tugas.

"Anggota terbabit yang berkhidmat di Cawangan Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu tidak menyedari penugasannya memeriksa sebuah kereta e-hailing jenis Proton Saga di Jalan Mayang Mas, Kelana Jaya telah dirakam penumpang wanita warga asing.

"Bagaimanapun, selesai pemeriksaan, kereta tersebut dilepaskan kerana tidak mempunyai sebarang kesalahan lalu lintas, jenayah atau dadah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Katanya, polis sedang mengesan pemilik akaun laman sosial terbabit dan juga individu terlibat dalam menularkan rakaman video berkenaan.

"Dakwaan berbaur negatif itu boleh menjejaskan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," ujarnya.

Rakaman video berdurasi 15 saat itu tular di media sosial dengan paparan tulisan 'dia pikir (fikir) kita ngx (tidak) ada dokumen ke buang masa je kalau grap (Grab) je dia terus stop (henti) kan kereta yang lain lewat (lalu) je hati2 teman kalau lalu sekitar Damansara'.