Derita Nur Aisyah bakal berakhir

Pihak LZS melawat keluarga Nur Aisyah yang menghidap penyakit tulang belakang bengkok di rumahnya di Semenyih, Hulu Langat. - Foto ihsan FB LZS
Pihak LZS melawat keluarga Nur Aisyah yang menghidap penyakit tulang belakang bengkok di rumahnya di Semenyih, Hulu Langat. - Foto ihsan FB LZS
A
A
A

HULU LANGAT - Penderitaan seorang kanak-kanak perempuan yang menghidap penyakit tulang belakang bengkok sejak berumur enam tahun bakal berakhir apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan berjumlah RM34,265 bagi menampung kos alatan ortopedik dan pembedahannya.

LZS menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan kanak-kanak yang dikenali sebagai Nur Aisyah, 11, yang tinggal di Semenyih, di sini ketika ini hanya bergantung kepada pelapik bagi menyokong tulang untuk bergerak.

Menurut maklumat dikongsikan LZS, keadaan Nur Aisyah semakin kritikal dan sukar bergerak terutama ketika membawa bebanan di belakangnya semasa bersekolah.

"Atas keprihatinan, LZS Daerah Hulu Langat turun padang menyampaikan bantuan yang diluluskan berjumlah RM34,265 bagi menampung kos alatan dan pembedahan tersebut.

"Semoga adik Nur Aisyah lebih ceria dengan kehidupannya, cemerlang dalam pelajaran dan mengikut abang-abangnya ke pengajian tinggi," kata hantaran tersebut pada Sabtu.