Banduan terakhir lari dari Penjara Jelebu kena cekup

Sinar Harian pada 13 April lalu melaporkan polis sudah menahan enam daripada tujuh banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu.
Sinar Harian pada 13 April lalu melaporkan polis sudah menahan enam daripada tujuh banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang lagi banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada 10 April lalu berjaya dicekup dalam satu operasi di sebuah bengkel kereta dan motosikal di Jalan Klang Assam Jawa, berdekatan Bukit Rotan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, banduan berusia 31 tahun itu ditahan berikutan terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah pada jam 5.30 pagi.

Menurutnya, lelaki yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu ditahan semasa bersama dua lagi rakan masing-masing berusia 23 tahun.

"Hasil maklumat awam dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Daerah (BSJNS) Kuala Selangor berjaya mencekup suspek dan dua lagi rakannya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ramli berkata, pihaknya menemui lapan peket plastik lut sinar mengandungi heroin seberat 455.60 gram bernilai RM15,000 dan dua peket plastik lut sinar dadah jenis syabu seberat 24 gram bernilai RM2,400 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM17,400

"Semua barang rampasan dijumpai di dalam beg silang yang digunakan salah seorang suspek berusia 23 tahun," ujarnya.

Kata beliau, suspek yang lari daripada tahanan terbabit dalam penagihan dadah jenis syabu dan heroin sejak 13 tahun lalu.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dan narkotik.

"Seorang daripada suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua tahun lalu dan seorang daripada mereka terjebak dengan bahan larangan itu sejak 15 tahun lalu.

"Semua ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B dan 39A(1) dan Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tujuh banduan yang menjalani tahanan reman di Penjara Jelebu, melarikan diri.

Bagaimanapun enam daripada tujuh banduan tersebut berjaya ditahan di lokasi dan tarikh berbeza.