Yusof Haslam menang rayuan saman hak cipta "Aku Bohsia"

A
A

PENERBIT filem, Datuk Yusof Haslam, dan dua yang lain, menang dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan pelanggaran hak cipta novel berjudul "Aku Bohsia" yang difailkan terhadap mereka oleh seorang novelis.

Sidang panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah, sebulat suara membenarkan rayuan yang dikemukakan perayu, Yusof, anaknya yang juga pelakon-pengarah Syamsul dan syarikat mereka, Skop Production Sdn Bhd.

"Kami berpendapat Mahkamah Rayuan tersilap apabila menolak keputusan Mahkamah Tinggi (yang memihak kepada perayu),” kata Wong yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali, Datuk Mohd Zawawi Salleh, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Nallini Pathmanathan.

Panel hakim berkenaan memerintahkan novelis Elias Idris, supaya membayar kos RM60,000 kepada perayu. Yusof dan Syamsul yang hadir di mahkamah hari ini kelihatan gembira dengan mahkamah itu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili ketiga-tiga perayu manakala peguam K.Periasamy dan Abd Razak Ismail mewakili novelis itu.

Perayu merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 21 Mac, 2017, yang membenarkan saman hak cipta Elias terhadap Yusof, Syamsul dan Skop Production. Mereka memperoleh kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah rayuan daripada Mahkamah Persekutuan pada 24 Julai, 2018.

Novelis berkenaan (Elias), yang menggunakan nama pena Anne Natasha Nita, mendakwa terdapat banyak persamaan antara novel beliau, "Aku Bohsia" dengan filem terbitan pemohon, 'Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam', dari segi plot, watak dan mesej.

Mahkamah Rayuan membenar rayuan Elias untuk perintah mengisytiharkan bahawa pemohon telah melanggar hak cipta novel karangannya dan satu perintah lagi agar mereka membayar kepadanya ganti rugi, yang jumlahnya akan ditentukan Mahkamah Tinggi dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Elias memfailkan saman terhadap Yusof yang nama sebenarnya Md Yusof Md Aslam, Syamsul dan Skop Production, pada 24 November 2014.

Yusof, Syamsul dan Skop Production memfailkan saman balas terhadap Elias berkaitan dua artikelnya yang didakwa bersifat memfitnah yang tersiar secara dalam talian pada 7 November dan 16 November 2014.

Dalam kenyataan bela diri mereka difailkan pada 5 Januari 2015, Yusof, yang terkenal kerana drama terbitannya, Gerak Khas, Syamsul, dan Skop Production, berkata mereka tidak pernah membaca atau malah mendengar nama novel itu serta menafikan menjadikannya sebagai asas bagi filem terbitan mereka.

Skop Production Sdn Bhd menerbitkan filem itu pada 2009. -Bernama