Penubuhan GRS diharap dapat penuhi kehendak rakyat Sabah

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diharap dapat memenuhi aspirasi rakyat di negeri Sabah untuk memacu kemajuan dan pembangunan yang lebih rancak serta mampan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelancaran GRS yang dipimpin oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Penubuhan GRS yang turut disertai oleh dua parti anggota Perikatan Nasional yang lain iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) diharapkan dapat memenuhi aspirasi rakyat di negeri Sabah untuk memacu kemajuan dan pembangunan negeri Sabah yang lebih rancak dan mampan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

GRS yang didaftarkan sebagai entiti politik baharu pada Mac lalu dilancarkan secara rasmi pada Sabtu.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Hajiji yang juga merupakan Ketua Menteri Sabah.

Pendaftaran GRS secara rasmi pada Mac lalu membabitkan empat parti iaitu Bersatu, STAR, SAPP dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Baru-baru ini, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) diterima masuk sebagai komponen GRS dan menjadikannya sebagai parti kelima menyertai gabungan politik berkenaan.