X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

'Ya prerogatif PM, tetapi sudah ada perjanjian dan persetujuan'

Hamzah
A
A

IPOH - Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan bahawa perjanjian pembahagian anggota kabinet telah dipersetujui semua parti sebelum tampuk kepimpinan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ketegasan dalam perjanjian itu menyatakan apabila berlaku seorang dalam kalangan mereka keluar parti atau meletak jawatan, maka kedudukan itu perlulah diganti daripada wakil parti itu sendiri.

"Kerajaan yang ada pada hari ini bukan hanya kerajaan daripada satu parti sahaja, contohnya Barisan Nasional (BN) ada berapa ahli Parlimennya menyokong Perdana Menteri begitu jugalah dengan parti lain termasuk Bersatu.

"Maka mereka kenalah terima hakikatnya bahawa ada perjanjian telah dibuat sebelum kita bersetuju beri tampuk kepimpinan kepadanya untuk dilantik Perdana Menteri," katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.

Menteri Dalam Negeri itu sedar, banyak pihak terutama kalangan pemimpin UMNO kurang senang dengan tindakan Bersatu menamakan wakil menggantikan tempat Datuk Zuraida Kamaruddin kerana mengatakan pelantikan menteri adalah hak prerogatif Perdana Menteri.

Bagaimanapun katanya, tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bertemu Perdana Menteri untuk menamakan seorang wakil parti adalah tindakan wajar kerana mengikut persetujuan awal yang disepakati.

"Saya nak maklumkan juga bahawa sudah ada perjanjian sebelum kita bekerjasama lagi.

"Perjanjian bahawa mereka yang dilantik dalam kabinet adalah jumlah yang dipersetujui oleh Perdana Menteri (PM) dan bekas PM (Muhyiddin), ini adalah satu ketegasan yang sudah dicapai," katanya.

Beberapa pemimpin UMNO dilaporkan berkata, pelantikan menteri berhubung isu menggantikan Zuraida selaku Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi adalah hak prerogatif Perdana Menteri sepertimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, mereka mahu hak tersebut dihormati dengan meletakkan kepercayaan kepada Perdana Menteri membuat keputusan tanpa sebarang desakan mahupun campur tangan.

Zuraida pada Khamis mengumumkan tindakan keluar parti Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ahli Parlimen Ampang itu turut menjelaskan yang beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan kedudukannya sebagai menteri.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!