X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

298,746 premis di Kedah nikmati capaian gentian optik

Zahidi (dua kanan) mencuba rojak buah di sebuah gerai pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia di Padang Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di Ambangan Height, Sungai Petani pada Sabtu.
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak 298,746 premis di Kedah telah menikmati akses capaian gentian optik melalui Pelan Inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa pertama (2020-2022) setakat suku pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kelajuan purata jalur lebar mudah alih pula juga telah meningkat kepada 34.65Mbps berbanding sebelum ini.

Menurutnya, liputan jalur lebar mudah alih 4G di kawasan berpenduduk di Kedah telah meningkat kepada 97.89 peratus dan penambahbaikan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa agar semua penduduk di negeri ini dapat menikmatinya.

"Jalur mudah alih 4G ini kalau boleh kita mahu 99 peratus penduduk Kedah dapat menggunakannya. Sekarang 97.89 peratus dan tidak jauh untuk hampir semua kawasan berpenduduk akan memperolehinya. Dalam tempoh dua tahun ini kita akan meningkatkan lagi peratus itu.

"Kita sedang berusaha dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menara dan gentian optik. (Pemasangan ini) sedikit mengambil masa seperti perlu mohon tanah daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pemilik tanah...kalau kawasan hutan, milik orang asli, memang ambil masa," katanya pada sidang akhbar di Sungai Petani pada Sabtu.

Zahidi sebelum itu hadir ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia di Padang Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di Ambangan Height, dekat sini.

Mengulas lanjut, pihaknya mempunyai pelan alternatif bagi pemasangan satelit yang mampu memberikan liputan di kawasan yang sebelum ini langsung tidak mempunyai akses internet.

"Tetapi cadangan ini ada pihak yang datang mahu membuat sepenuhnya pemasangan satelit tapi kita tidak boleh memberikan kerana mahu ada penglibatan dari usahawan tempatan. Kita sudah terangkan perlu perkongsian kerana perlu ada beberapa kriteria seperti lesen," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zahidi berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menghargai peranan wartawan yang akan menyambut Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada Ahad.

Menurutnya, sumbangan wartawan kepada masyarakat cukup besar dalam menyampaikan maklumat yang benar sehingga adanya yang hilang nyawa seperti yang berlaku di luar negara.

"Kita sedang berusaha untuk memberikan pelbagai pengiktirafan kepada wartawan yang ditimpa musibah seperti cedera ataupun menghadapi kesusahan.

"Kita juga minta cadangan daripada wartawan untuk disampaikan kepada kerajaan sempena HAWANA terutamanya kepada kementerian kita yang bertanggungjawab membela nasib golongan ini," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!