Cadangan padam kandungan media sosial dalam pertimbangan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan untuk memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memadam kandungan atau paparan berunsur fitnah dan negatif di media sosial masih dalam pertimbangan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi mencari mekanisme sesuai dalam menangani masalah penyalahgunaan media sosial.

Katanya ia termasuk mendapatkan pandangan Majlis Media Malaysia yang diharap dapat ditubuhkan pada bulan depan.

"Sudah semestinya saya juga akan dapatkan pendapat dan pandangan daripada mereka (Majlis Media) sebelum kita buat apa-apa cadangan berkaitan dengan apa yang perlu dilakukan supaya kita boleh menangani penyalahgunaan media sosial ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Gobind, kementeriannya menghormati kebebasan untuk membincangkan sesuatu perkara di media sosial, namun ia perlu dilakukan secara berhemah serta tidak mencetuskan sebarang masalah sosial atau menjejaskan keselamatan negara.

"Usaha ini bukan sama sekali bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi untuk mengekalkan kesopanan dan mengelakkan pandangan berbaur hasutan dan sensitif yang boleh membawa kepada kesan yang negatif terhadap keselamatan negara dan juga perpaduan di antara kaum di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind berkata kementerian akan melihat keperluan mewujudkan peruntukan khusus bagi melindungi wartawan yang menjalankan tugas di lapangan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata pengamal media tidak seharusnya diserang atau diugut oleh mana-mana pihak ketika menjalankan tugas mereka bagi melaporkan fakta kepada rakyat.

Katanya, sekiranya sesuatu pihak itu tidak berpuas hati dengan laporan seseorang pengamal media, mereka sepatutnya mengambil pendekatan seperti menghubungi sendiri wartawan berkenaan, atau mengambil tindakan melaporkan kepada polis atau tindakan mahkamah.

"Bagi saya, undang-undang yang kita ada sekarang memang boleh atau mempunyai kesan untuk melindungi wartawan yang melaksanakan tugas, tetapi kita akan bincangkan dalam pertemuan dengan pengamal media sama ada perlu atau tidak untuk kita adakan peruntukan khusus bagi memastikan keadaan (mengugut dan menyerang wartawan) tidak berulang pada masa depan,” kata Gobind.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut merakyatkan ekonomi digital melalui program eRezeki dan eUsahawan yang bertujuan memberi peluang dan kemahiran kepada golongan sasaran bagi meningkatkan pendapatan mereka melalui penggunaan internet.

Beliau berkata sehingga akhir 2018, seramai 220,832 peserta telah dilatih di bawah program eRezeki dan seramai 123,536 pekerja digital daripada golongan B40 telah berjaya meraih pendapatan tambahan.

"Pendapatan tambahan itu bukan kecil, sebanyak RM233 juta selepas mereka ini menggunakan infra atau usaha-usaha yang kita laksanakan. Program eUsahawan pula seramai 270,168 usahawan telah dilatih dan 92,069 telah pun berjaya melaporkan jualan tambahan sebanyak RM421 juta,” katanya. -Bernama