Operator ladang maut dalam nahas babit tiga kenderaan

Mohd Zainuddin maut selepas dilanggar sebuah lori dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 7 Jalan Bahau-Juasseh pada Sabtu. - Foto: PDRM
Mohd Zainuddin maut selepas dilanggar sebuah lori dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 7 Jalan Bahau-Juasseh pada Sabtu. - Foto: PDRM
A
A
A

JEMPOL - Seorang operator ladang maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh sebuah kereta sebelum tercampak dan dilanggar lori di Kilometer 7 Jalan Bahau-Juasseh pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu membabitkan tiga kenderaan iaitu motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang mangsa, Mohd Zainuddin Miskam, 24, sebuah kereta jenis Honda City dipandu lelaki berusia 55 tahun dan lori jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 33 tahun.

"Siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Palong Timur menghala ke Kuala Pilah.

"Setibanya di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah merempuh bahagian belakang kanan kereta Honda City yang ingin masuk ke simpang kiri jalan di laluan yang sama," katanya pada Sabtu.

Jelas Chang Hook, akibat perlanggaran itu, Mohd Zainuddin telah tercampak ke laluan bertentangan.

"Pada masa sama, sebuah lori yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa.

"Mohd Zainuddin yang mengalami kecederaan parah pada kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jempol bagi dibedah siasat," katanya.

Jelasnya, dua lagi individu yang terbabit dalam kemalangan itu iaitu pemandu kereta dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.