Saya banyak pengalaman untuk jadi duta: Tajuddin

Tajuddin bersama tetamu yang hadir ke Jamuan Raya Open House TT Education Group di Kolej Antarabangsa Taj pada Sabtu.
Tajuddin bersama tetamu yang hadir ke Jamuan Raya Open House TT Education Group di Kolej Antarabangsa Taj pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yakin pengalaman dalam politik serta sektor korporat antara faktor melayakkan beliau dipilih sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Menurut Tajuddin, sejak berusia 25 tahun beliau sudah bergelar ahli perniagaan sebelum menjadi wakil rakyat pada tahun 2008 seterusnya menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani selama lima tahun.

Jelasnya, pemilihannya sebagai Duta Besar tidak sepatutnya menjadi isu kerana sebelum ini beberapa pemimpin politik pernah dilantik jawatan tersebut.

"Mereka tidak kenal siapa saya. Saya sudah menjadi pemimpin sejak di universiti. Dari umur 25 saya dah masuk dalam politik dan perniagaan. Umur 56 tahun baru jadi wakil rakyat iaitu pada tahun 2004 sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pada tahun 2008 jadi Ahli Parlimen.

"Lantikan duta besar dalam kalangan ahli politik pun pernah berlaku sebelum ini seperti Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat dan Datuk Seri Zahrin Hasim yang menjadi Duta Besar ke Indonesia, begitu juga Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Datuk Dr Awang Adek Hussin yang dilantik sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Raya Open House TT Education Group di Kolej Antarabangsa Taj, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa kritikan mengenai pemilihannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Dalam pada itu, Tajuddin menjelaskan, proses pemilihan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dan mendapat persetujuan Indonesia.

Menurutnya, penyampaian watikah secara rasmi dijangka disempurnakan pada 21 Jun oleh Yang di-Pertuan Agong, l-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama diplomat lain.

Ditanya mengenai misi dan visi beliau selepas dilantik, Tajuddin menjelaskan perkara itu hanya akan diumumkan selepas menerima watikah.

Beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini mengkritik pelantikan itu dan menyifatkan Tajuddin tidak layak memegang jawatan itu.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pelantikan itu dipersetujui Presiden Indonesia Joko Widodo.

Menurut Saifuddin, ketua perwakilan Malaysia ke luar negara boleh dipilih melalui dua kategori iaitu dalam kalangan pegawai-pegawai diplomatik yang sedia berkhidmat dalam kerajaan dan mereka yang bukan daripada pegawai diplomatik seperti ahli politik, bekas ahli politik, bekas menteri dan bekas pegawai tentera.