Bapa mimpi bertemu jasad anak hilang ketika mandi sungai

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA KRAI - Bapa kepada remaja perempuan yang masih hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi bersama dua sepupunya di Sungai Kelantan berhampiran pangkalan feri di Kampung Pasir Kelang di sini pada Jumaat bermimpi bertemu dengan jasad anaknya.

Ibu mangsa, Miss Minawa Salleh, 41, berkata, susulan mimpi itu, suaminya yang merupakan warga Thailand, Ku Zaid Tuan Tengah, 45, meminjam bot penduduk kampung untuk mencari anaknya, Ku Nabila Ku Zaid, 15, pada jam 7 pagi.

“Suami pergi mencari anak kedua kami yang masih hilang di sungai itu tetapi tidak menjumpainya seperti yang dimimpikan.

“Apa-apa pun, kami tidak berputus asa dan meneruskan usaha mencarinya sehingga jumpa,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, jasad dua anak saudaranya, Nik Alia Tuan Tengah, 15, dan Nik Adib Tuan Tengah, 13, yang ditemukan lemas dalam kejadian sama pada Jumaat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Kelang, di sini, pada petang Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, dua remaja warga Thailand iaitu seorang perempuan dan seorang lelaki lemas ketika mandi di sungai itu kira-kira 500 meter dari Pangkalan Feri Kelang Lama, di sini, pada jam 4 petang.

Mayat Nik Alia ditemukan pada jam 6.30 petang manakala mayat Nik Adib dijumpai pada jam 9 malam pada Jumaat manakala Ku Nabila masih hilang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun ketika dihubungi berkata, pada Sabtu, usaha pencarian mangsa tersebut diperluas dalam jarak 100 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tersebut disertai 43 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta turut mendapat bantuan penduduk kampung.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada Sabtu bagi mencari Ku Nabila yang hilang ketika mandi di Sungai Kelantan, Kuala Krai.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada Sabtu bagi mencari Ku Nabila yang hilang ketika mandi di Sungai Kelantan, Kuala Krai.

“Hari ini, keadaan Sungai Kelantan lokasi pencarian pada sebelah pagi tenang serta cetek sekali gus memudahan operasi dijalankan.

“SAR digerakkan dengan menggunakan tiga buah bot milik JBPM dan PDRM serta sebuah bot APM selain turut meminta bantuan Unit Skuba JBPM,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan bagi mencari manga ketiga yang masih dikhuatiri hilang ketika mandi di Sungai Kelantan di Kuala Krai.

Penduduk kampung yang turut sama menyertai usaha mencari mangsa ketiga, Ku Nabila Ku Zaid, 15.