X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Enam ADUN Kedah kekal sokong Bersatu, PN

Gambar dari kiri: Halimaton Shaadiah, Azman, Robert, Mohd Firdaus
A
A

ALOR SETAR - Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Penegasan itu dibuat oleh ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad bagi menepis spekulasi yang mendakwa kerajaan negeri PN Kedah goyah selepas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Halimaton Shaadiah berkata, kesemua enam ADUN Bersatu di Kedah tidak terpengaruh dengan tindakan Zuraida walaupun terdapat desas-desus mengatakan beberapa ahli Parlimen dan ADUN bakal mengikut jejak beliau.

“Dalam konteks negeri Kedah, ia tidak menjejaskan apa-apa termasuk pentadbiran kerana kami yang mewakili kerusi Bersatu di Kedah tetap setia bersama kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Menurutnya, kesemua enam ADUN Bersatu di Kedah sepakat meneruskan amanat yang diberikan sehingga tamat penggal pilihan raya.

“Daripada enam ADUN Bersatu, lima merupakan Exco kerajaan negeri dan seorang merupakan Speaker DUN Kedah.

“Saya tak nampak adanya masalah, kami tak akan goyah pendirian walaupun ada mana-mana parti termasuk PBM cuba dekati untuk kami beralih sokongan,” katanya.

Halimaton Shaadiah yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kubang Pasu memberitahu, setakat ini tiada wakil daripada PBM menghubungi beliau bagi meraih sokongan untuk menyertai parti itu.

“Sebelum ini pun, kami berhubung atas kapasiti beliau sebagai menteri kabinet, mengajak sertai parti tak ada lah. Cuma ada dengar daripada pihak lain terdapat ahli Parlimen dan ADUN akan bersama beliau. Saya dan lima ADUN Bersatu tetap meneruskan agenda membantu rakyat Kedah,” katanya.

Sementara itu, dua ADUN Bersatu yang sebelum ini meninggalkan PKR sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) plus Bersatu pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tumbang kepada PN, turut menyatakan kesetiaan kepada parti.

ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee ialah ADUN Bebas sebelum mengikut jejak Zuraida dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai Bersatu.

Azman berkata, selepas mengumumkan keluar daripada PKR, sehingga kini perjuangannya dalam politik akan diteruskan bersama Bersatu.

“Saya akan terus kekal bersama Bersatu, tiada sebab untuk saya ikut jejak Zuraida menyertai PBM. Malah mereka juga tahu pendirian saya dalam hal ini dan tidak pernah cuba memujuk saya sertai PBM.

“Saya menyokong penuh kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyidin Yassin dan PN Kedah,” katanya.

Robert yang merupakan ahli bersekutu Bersatu turut mengesahkan tiada tawaran daripada PBM selain tiada perbincangan dilakukan antara kedua-dua pihak susulan tindakan mengejut Zuraida itu.

“Saya tidak pernah ada keinginan atau mahu terima tawaran sertai PBM. Setakat ini pun tiada wakil mereka dekati saya. Walaupun ada dakwa saya dan Azman proksi kepada Zuraida dan Azmin, namun tindakan mereka tiada kaitan dengan kami,” katanya lagi.

Manakala ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad menyatakan kekal setia bersama Bersatu bagi mengukuhkan pentadbiran di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Saya tidak berminat dan tidak terlintas untuk menyertai PBM atau parti lain. Saya menyertai Bersatu ketika parti ini masih baru. Sehingga kini, saya yakin dengan kepimpinan Muhyiddin dan barisan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mengurus tadbir parti,” katanya.

Selain Halimaton Shaadiah, Azman, Robert dan Mohd Firdaus, dua lagi ADUN terbabit ialah ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan ADUN Ayer Hangat, Datuk Juhari Bulat.

DUN Kedah diterajui PN dengan 15 kerusi diwakili Pas, dua daripada UMNO dan enam merupakan Bersatu. Sementara PH diwakili PKR dengan lima kerusi, Amanah (empat), DAP (dua) manakala Pejuang sebanyak dua kerusi.

Pada Khamis, Zuraida berhasrat meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai PBM.

Bagaimanapun beliau menyatakan akan kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selari dengan pendirian PBM.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!