X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Bot pukat tunda Vietnam rompak hasil laut negara ditahan

Khairun Dalilah (kiri) menunjukkan bot-bot pukat tunda milik nelayan Vietnam yang berjaya ditahan oleh Maritim Malaysia Kelantan.
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan bot pukat tunda milik nelayan Vietnam yang menceroboh dan merompak hasil laut negara dalam dua serbuan berasingan pada Jumaat.

Dalam serbuan pertama pada jam 1.30 pagi Maritim Malaysia Kelantan berjaya menahan bot yang dinaiki 10 kru termasuk tekong pada jarak 36.4 batu nautika dari muara Tok Bali.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, serbuan kedua pada jam 1.45 pagi itu berjaya menahan seorang tekong dan kru yang menaiki sebuah lagi bot.

"Bot kedua ini kita tahan pada jarak 36.7 batu nautika dari muara Tok Bali. Semasa ditahan kesemua nelayan asing Vietnam yang berusia 21 hingga 61 tahun gagal mengemukakan dokumen sah berkait dengan kebenaran menangkap ikan," katanya kepada pemberita di Jeti Maritim Malaysia Kelantan, Tok Bali di sini pada Sabtu.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut Maritim Malaysia Kelantan turut merampas peralatan menangkap ikan, navigasi dan komunikasi.

Beliau berkata, selain itu sebanyak 600 kilogram pelbagai jenis ikan termasuk ikan baja dirampas hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas kedua-dua buah bot berkenaan.

Khairun Dalilah berkata, bekalan bahan api diesel berjumlah 3,000 liter turut dirampas dalam serbuan tersebut.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM2.04 juta. Kesemua kru dan tekong akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985," katanya.

Menurutnya, kawalan perairan negara akan terus diperkasakan dalam mengekang pencerobohan nelayan asing daripada merompak hasil laut negara.

Katanya, kawalan tersebut bagi memastikan perairan negara sentiasa berada dalam keadaan selamat dan bebas dari anasir tidak baik.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!