X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

KPWKM, CyberSecurity Malaysia tangani jenayah seksual kanak-kanak

Rina (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Dr Amirudin berhubung teknologi dan pengoperasian Forensik Digital CyberSecurity Malaysia dalam lawatan di agensi tersebut di Menara CuberSecurity Malaysia pada Jumaat.
A
A

CYBERJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius kes eksploitasi dan pornografi kanak-kanak di alam siber susulan dapatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menerima puluhan ribu alamat protokol internet (IP) yang berkongsi kandungan lucah golongan itu di internet.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, tindakan secara bersepadu dan strategik perlu segera diambil dalam menangani isu berkenaan yang semakin membimbangkan ketika ini.

“Saya cukup risau dan bimbang serta memandang serius dapatan PDRM yang menyatakan menerima puluhan ribu alamat IP yang berkongsi kandungan lucah kanak-kanak di internet.

“Daripada 93, 368 alamat IP lucah tersebut, hanya 103 berjaya diperiksa yang membawa kepada penangkapan 50 individu.

“Angka ini amat merunsingkan dan kes seperti ini memerlukan kerjasama segenap anggota masyarakat untuk sama-sama mencegahnya dan melindungi kanak-kanak di negara ini,” katanya selepas melakukan lawatan bagi meninjau pengoperasian CyberSecurity Malaysia pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Rina berkata, pihaknya menerusi agensi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan melaksanakan advokasi dan program peningkatan kesedaran kepada ibu bapa supaya cakna mengenai ancaman dunia siber bersama CyberSecurity Malaysia.

Jelasnya, sebelum ini, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) dan kini perbincangan khas melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu Kanak-Kanak di Media Sosial dan CyberSecurity Malaysia turut dilakukan dalam menangani segera isu tersebut secara sistematik, terurus dan terancang.

“Banyak lagi kerjasama yang dijalankan bersama Cybersekurity bagi menyediakan persekitaran siber yang selamat dan kalis ancaman untuk kanak-kanak. Kami akan bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Saya dan kementerian akan terus mempergiatkan usaha memastikan persekitaran siber yang selamat agar kanak-kanak di negara ini tidak terdedah kepada pelbagai risiko di alam siber termasuk dieksploitasi dan pornografi,” ujarnya.

Sementara itu, dalam lawatan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan pasukannya turut menerangkan mengenai pengoperasian agensi berkenaan yang dilengkapi teknologi.

Rina turut melawat Makmal Forensik Digital, Makmal MyCERT dan meninjau CyberSAFE L.I.V.E, galeri yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai ‘Galeri Keselamatan Siber Pertama’ di Malaysia.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!