Indonesia & Thailand Malaysia kedua?

A
A

SETELAH kejutan berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia tahun lalu, politik pilihan raya di rantau Asia Tenggara kembali lagi mendapat perhatian masyarakat dunia.

Indonesia bakal mengadakan Pemilihan Umum (Pemilu) dan Pemilihan Presiden (PilPres) secara serentak April depan, dan di Thailand juga ketika ini baru sahaja selesai mengadakan pilihan raya negara yang pertama selepas kudeta tentera yang menggulingkan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra tahun 2014 yang ketika itu telah dipilih menerusi proses pilihan raya.

Di Indonesia, PilPres dilihat lebih mencuri tumpuan berbanding Pemilu. Pertembungan antara penyandang Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Ketua Umum Parti Gerindra, Prabowo Subianto (Prabowo) sudah tentu menarik perhatian semua dalam usaha mereka memenangi undi 196.5 juta pengundi dari sejumlah 266 juta populasi negara keempat terbesar di dunia itu.

Di peringkat ini, ramai yang meramalkan Prabowo dan gandingannya, Sandiaga Uno bakal membuat kejutan ala-Mahathir sepertimana di Malaysia.

Walaupun cabaran Jokowi dan gandingannya, Ma’ruf Amin dilihat hanya sekadar melanjutkan perseteruan lama antara Jokowi-Prabowo ketika PilPres 2014, namun kali ini, kelebihan dikatakan memihak Prabowo.

Semenjak himpunan jutaan umat Islam Indonesia pada 2 Disember 2016 (juga dikenali di Indonesia sebagai Gerakan 212), populariti Jokowi kelihatan longlai dan merudum.

Himpunan yang bertujuan menuntut tindakan keras terhadap tindakan kontroversi bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama (Ahok) menghina Islam ketika berkempen dalam pilihan raya Gabenor ternyata telah dijadikan wacana yang melatari persaingan PilPres 2019.

Ini diakui sendiri oleh penganalisis politik terkenal Indonesia, Boni Hargens yang melabelkan Gerakan 212 sebagai gerakan politik pembangkang menyerang pemerintah dan diramal beliau bakal menguntungkan kem Prabowo.

Menurut Boni, gerakan sejak 2016 dan terus aktif sehingga kini merupakan sebahagian daripada perancangan kempen politik lawan untuk mengalahkan Jokowi dalam pemilihan.

Disebabkan elemen agama yang sensitif, maka Islam digunakan oleh kelompok-kelompok konservatif yang mendukung Gerakan 212 sebagai ramuan baharu mengalahkan Jokowi.

Di kem Jokowi pula, beliau kelihatan terdesak untuk mempamerkan kredibiliti Islamnya dengan memilih Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI), Ma’ruf Amin sebagai gandingannya.

Walaupun Prabowo juga tidaklah begitu ‘Islamik’, tetapi tindakan Jokowi menghukum beberapa ulama yang tidak sehaluan dengannya sebelum ini tidak digemari oleh kelompok konservatif di Indonesia.

Kalau di Indonesia naratif ‘lebih Islam’ digunakan sepanjang kempen pemilihan, lain pula ceritanya di Thailand.

Setelah hampir 5 tahun di bawah pemerintahan tentera, negara Gajah Putih itu kembali mengadakan pilihan raya umum pada Ahad lalu, sekali gus cuba menamatkan pemerintahan junta dan mengembalikan demokrasi di Thailand.

Ketika ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan Parti Pheu Thai yang pro-demokrasi mendahului dengan penguasaan 137 kerusi berbanding lawannya, Parti Palang Prachart yang pro-junta, Parti Demokrat, Parti Bhumjaithai, Parti Chartthaipattana dan parti baharu, Future Forward dalam persaingan merebut 500 kerusi di Parlimen.

Setelah Thailand menamatkan pemerintahan monarki mutlak pada 1932, sudah 12 kali rampasan kuasa berlaku dalam pemerintahan silih berganti birokrat-tentera.

Tidak dinafikan, agak payah untuk memisahkan peranan dan pengaruh tentera dalam politik Thailand. Sepanjang sejarahnya, ia sudah menjadi semacam trend dalam politik Thailand yang memperlihatkan peranan signifikan tentera dalam kestabilan kerajaan yang memerintah.

Tanpa sokongan tentera, sukar untuk kerajaan bertahan lama walau sekuat mana pun sokongan dan arus tuntutan demokrasi tersebut. Ini mungkin boleh dilihat ketika era Thaksin (2001-2006) selepas partinya, Thai Rak Thai (TRT) menang bergaya dalam pilihan raya 2001 dan juga ketika era kebangkitan mahasiswa 1973 yang berjaya menumbangkan rejim Thanom Kittikachorn selepas tragedi Universiti Thammasat.

Kedua-duanya memperlihatkan walau sekuat mana pun sokongan dan kebangkitan rakyat terhadap pendemokrasian, kerajaan yang dibentuk selepas itu tidak bertahan lama tanpa sokongan yang kuat daripada birokrat tentera.

Sudah tentu ketegangan dan suasana panas melatari landskap pilihan raya di Thailand kali ini kerana bahangnya sudah terasa sejak 2014 lagi.

Selepas insiden ‘Bangkok Shutdown’ yang digerakkan oleh Bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suthep Thaugsuban menghumban Thailand ke dalam kecelaruan politik, cubaan kerajaan junta menolak desakan rakyat kepada demokrasi dan sudah tentu, cubaan menghapuskan pengaruh Thaksin dalam politik Thailand nampaknya gagal.

Dengan perkembangan politik semasa di dua negara jiran kita ketika ini, apakah mereka juga bakal mengikut jejak langkah Malaysia dengan melakukan perubahan rejim lalu boleh dilabelkan sebagai ‘Malaysia kedua’? Sama-samalah kita tunggu pengakhirannya.

* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.