X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Sukar bagi Malaysia jadi hos Piala Asia 2023

Mohd Saifuddin
A
A

MALAYSIA mungkin tidak berupaya menggantikan China untuk menjadi hos Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar secara peribadi berpendapat amat sukar bagi Malaysia untuk menganjurkan kejohanan berprestij bola sepak Asia itu kerana berdepan kekangan menyediakan venue serta padang berkualiti tinggi.

"Dari segi logistik seperti hotel kita tiada masalah, namun negara yang menjadi penganjur memerlukan minimum empat stadium manakala kualiti padang latihan juga perlu setaraf dengan venue perlawanan.

"Padang latihan perlu memenuhi kriteria tinggi ditetapkan kerana ini pertandingan bola sepak tertinggi di rantau Asia,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, masa juga jelas mencemburui Malaysia untuk menganjurkannya kerana memerlukan persediaan rapi memandangkan kejohanan itu berlangsung tahun depan, waima menjadi penganjur bersama dengan negara lain.

"Tetapi ini pendapat saya namun terserah kepada keputusan mesyuarat exco yang akan diadakan selepas Kongres FAM pada Ogos ini untuk membida penganjuran Piala Asia 2023 atau sebaliknya.

"Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga boleh panggil untuk bincangkan perkara itu (penganjuran Piala Asia 2023) namun setakat ini tiada ura-ura lagi kita berminat anjurkannya,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John berkata, mereka akan menghantar dokumentasi bidaan kepada 47 persatuan lain di dalam Asia termasuk FAM seawal minggu hadapan untuk mencari tuan rumah baharu Piala Asia 2023.

Beliau berkata, AFC memberi masa hingga akhir bulan depan bagi negara yang berminat menganjurkan kejohanan untuk mengemukakan kertas cadangan menggantikan China yang menarik diri daripada menganjurkan Piala Asia 2023 susulan pandemik Covid-19.

Kali pertama dan terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Piala Asia adalah pada 2007 iaitu negara menganjurkannya bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Sementara itu, Mohd Saifuddin memaklumkan FAM menetapkan sasaran bagi skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan untuk layak ke separuh akhir sekali gus muncul antara empat pasukan terbaik pada Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, bulan depan.

Anak buah Brad Maloney yang dijangka berlepas esok ke Tashkent, berdepan tugas getir dalam Piala Asia B-23 2022 selepas diundi dalam Kumpulan C bersama juara 2020 Korea Selatan, naib juara 2018 Vietnam dan Thailand. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!