Tempoh perkhidmatan guru COS ambilan Jun 2020 dilanjutkan

Mohd Radzi
Mohd Radzi
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bersetuju melanjutkan tempoh perkhidmatan guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 yang tamat kontrak pada 9 Jun ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Menurutnya, pelanjutan berkenaan bertujuan membolehkan proses berkaitan pelantikan mereka sebagai guru di bawah bidang kuasa SPP dapat dilaksanakan.

"Guru COS 2020 yang akan tamat pada Jun ini, jangan risau. Kita dapat maklum balas daripada SPP semalam bahawa tempohnya akan dilanjutkan bagi membolehkan segala proses dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3) di sini pada Sabtu.

Pada 5 Mei lepas, Mohd Radzi dilaporkan berkata, nasib 2,600 guru COS ambilan Jun 2020 bakal terbela apabila kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan temu duga guru COS bagi pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan DG41 secara 'one-off' tahun 2021 telah diumumkan oleh SPP pada Jumaat.

Calon boleh menyemak keputusan temu duga melalui portal SPP di pautan www.spp.gov.my manakala urusan penempatan calon yang berjaya akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Mengenai pembinaan sekolah baharu tersebut, Mohd Radzi berkata, projek yang menelan kos hampir RM38 juta dengan kapasiti 36 bilik darjah itu, dijangka siap pada November 2023 dan mula beroperasi pada Januari 2024.

"Pada masa ini, murid SK Putrajaya Presint 8(3) menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya 11(2) sejak 2020, melibatkan 439 murid di 18 bilik darjah.

"Ia (pembinaan sekolah baharu) merupakan sebahagian daripada usaha KPM dalam memastikan kawasan yang penduduknya meningkat setiap tahun secara konsisten, diberi satu keutamaan dalam konteks pembinaan sekolah baharu mengikut keperluan,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan sekolah tersebut juga akan mewujudkan penempatan untuk seramai 96 guru dan 13 kakitangan pentadbiran.

Sehingga kini terdapat 16 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah di Putrajaya. - Bernama