HFMD: 180 tabika, taska Kemas ditutup

Sebanyak 180 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ditutup susulan penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara setakat Jumaat. - Gambar hiasan (Gambar Dalam) Mahdzir

A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 180 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ditutup susulan penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara setakat Jumaat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 105 premis membabitkan tabika manakala selebihnya adalah taska Kemas.

Menurutnya, penutupan premis terbabit dilaksanakan selama 10 hari selepas mendapat nasihat daripada pejabat kesihatan negeri masing-masing.

“Saya difahamkan setakat ini Melaka dan Negeri Sembilan tidak terlibat dengan penutupan tadika dan taska Kemas kerana tiada jangkitan HFMD dikesan.

“Kalau di Pahang terdapat empat premis tadika dan taska ditutup selepas didapati berlakunya penularan penyakit terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Bersama Warga Kemas negeri Pahang di Universiti Kolej Yayasan Pahang di sini pada Sabtu.

Mahdzir (tengah) ketika hadir dalam Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Bersama Warga Kemas negeri Pahang di Universiti Kolej Yayasan Pahang di sini pada Sabtu.
Mahdzir (tengah) ketika hadir dalam Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Bersama Warga Kemas negeri Pahang di Universiti Kolej Yayasan Pahang di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Beliau berkata, kanak-kanak tabika dan taska Kemas akan diasingkan sekiranya didapati mempunyai gejala HFMD bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada kanak-kanak lain.

Jelasnya, dalam tempoh penutupan premis itu, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan dilaksanakan.

Mahdzir menambah, pihak Kemas sentiasa memantau kehadiran kanak-kanak ke tabika dan taska setiap hari.

“Kita telah meminta semua pendidik masyarakat tabika dan taska mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan membuat saringan awal seperti mengukur suhu badan setiap kali kanak-kanak ini hadir ke kelas.

“Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memantau kesihatan anak-anak dan tidak perlu hantar mereka ke tabika atau taska jika ada gejala seperti demam, tanda-tanda ulser pada mulut dan lidah serta ruam, lepuh pada tangan dan kaki," katanya.