X

Kindly register in order to view this article
!

Tersilap petik atau tersilap cakap?

A
A

ADA beza antara wartawan dulu-dulu dengan pengamal media sekarang. Pada usia 24 tahun, saya memilih bidang yang tidak pernah terfikir oleh ibu dan ayah saya.

Almaklumlah, seperti ibu bapa lain juga, mereka mahu anak menjadi doktor, jurutera, peguam dan lain-lain kerjaya besar. Atau, paling koman pun menjadi kerani.

Maka apabila saya memberitahu menerima tawaran bekerja di Jalan Chan Sow Lin, mereka – lebih-lebih lagi ibu – tercenggang bukan kepalang.

Nama jalan itu pun terlalu Cina bunyinya, tidak pernah mereka dengar. Maka tidak hairan jika mereka mengagak saya mesti menjadi kerani di kilang kicap.

Kerja surat khabar? Lagi terkejut ibu apabila diberitahu saya hendak menjadi wartawan. Di kampung jin bertendang di Hulu Muar, 60 tahun dulu, wartawan tidak pernah disebut orang.

Ibu membayangkan kerja surat khabar itu ialah pagi-pagi saya naik motosikal kapcai buruk, bawa setimbun surat khabar, dan campakkan surat khabar di halaman rumah orang. Koman betul!

Kalau itulah kerjanya tidak payah pergi Kuala Lumpur, duduk kampung sahaja, kerjakan sawah padi, atau melukah ikan di sungai, lebih baik. Ibu betul-betul kecewa!

Abah tidaklah terkejut sangat. Walaupun tidak tahu secara terperinci, abah tahu apa itu wartawan. Tukang buat berita, katanya.

Enam bulan pertama di Jabatan Pengarang Utusan, saya diletakkan di beberapa unit. Mula-mula mengikut wartawan senior ke mahkamah, belajar mengikuti dan melaporkan perbicaraan.

Kemudian saya dibimbing oleh Sirajuddin Mokhtar di meja jenayah. Pemberita jenayah Utusan terkenal waktu itu termasuklah Mukmin Latif.

Sebulan di meja jenayah, saya dibimbing pula oleh Bahyah Mahmud @ Kak BAM di meja hiburan. Ini paling menyeronokkan sebab saya berpeluang menemui dan berkenalan dengan artis yang menjadi idola semasa di sekolah menengah.

Antara yang sempat saya temu ramah ialah Jeffery Din (Seruling Anak Gembala), Rafeah Buang, dan Helen Vellu (Kereta Lembu).

Akhirnya saya diletakkan di meja am untuk membuat liputan politik dan ehwal semasa. Saya dilatih oleh Suhaimi Mokhtar, Zainuddin Maidin (ZAM). Tetapi yang banyak mendorong saya ialah Subky Latif.

Sebahagian nama-nama yang saya sebutkan telah meninggal dunia, semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Zaman saya di Jalan Chan Sow Lin semua serba susah. Tidak ada telefon bimbit, tidak ada kemudahan kenderaan, kena naik bas Tong Fong, tambang 12 sen dari Jalang Silang ke pejabat. Wartawan sekarang serba-serbi canggih, serba-serbi mudah.

Walaupun zaman berubah, masa berlalu, peralatan kuno diganti dengan teknologi tercanggih, ada beberapa masalah serupa yang dihadapi oleh wartawan zaman saya 40 tahun dulu dengan wartawan sekarang.

Pertama, wartawan dituduh memutar belit fakta. Pantang tersilap sedikit – ada ketikanya hanya kesilapan ejaan – kami dikatakan sengaja memesongkan fakta untuk sensasi dan kontroversi.

Kedua, wartawan dituduh tersilap petik. Lain yang dicakapkan dalam sidang media, lain pula yang keluar dalam berita. Maka wartawan dituduh membuat berita palsu hanya untuk melariskan surat khabar.

Ada pun tuduhan-tuduhan tersebut, semakin kerap terjadi sekarang. Dan yang membuat tuduhan ialah para menteri kita. Selalu sangat wartawan dituduh tersilap petik dan seleweng fakta.

Dulu-dulu wartawan tidak ada bukti kukuh untuk menolak tuduhan seperti itu. Almaklumlah dulu semua fakta yang diberi dicatat dalam buku catatan, tulisan macam cakar ayam, tidak jelas hujung pangkal.

Dalam keadaan begitu memang ada kemungkinan berlaku silap fakta atau tersilap petik. Menteri mudah sahaja menuding jari menyalahkan wartawan.

Tetapi keadaan sekarang berbeza. Wartawan sekarang tidak lagi menulis cakar ayam pada buku cacatan. Apa yang dicakapkan oleh menteri kini direkod menggunakan alat perakam tercanggih.

Tidak sahaja menggunakan alat perakam, sidang akhbar kini dilaporkan secara ‘live’ menerusi video. Apa yang dicakapkan akan dirakam dan disiarkan sepatah-sepatah, siap dengan gambar.

Contoh: kalau menteri sebut ‘kasut hitam’ yang akan disiarkan atau divideokan ialah kasut hitam, bukan kasut pink. Jika yang dicakapkan ialah ‘kereta terbang’ yang akan keluar ialah kereta terbang, bukan kereta selam.

Memang, ada ketikanya wartawan melakukan kesilapan. Tetapi, bukan selalunya wartawan yang silap. Ada ketikanya – dan kini semakin kerap – menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri pun tersilap cakap, sama ada sengaja atau tidak.

Jadi, cakap biar betul, dan jangan tuduh-menuduh. Menteri perlukan wartawan, wartawan pun perlukan menteri. Kita patut saling tolong-menolong.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!