Zinchenko mahu cipta kemenangan demi rakyat Ukraine

Zinchenko
Zinchenko
A
A
A

TONGGAK pertahanan Ukraine, Oleksandr Zinchenko berkata, dia dan rakan sepasukan berharap mampu untuk membanggakan negaranya ketika bertemu Scotland dalam aksi separuh akhir playoff Piala Dunia minggu hadapan.

Ukraine akan menentang Scotland di Hampden Park pada 1 Jun ini dalam satu perlawanan yang sebelum ini ditunda gara-gara pencerobohan Rusia pada Mac.

“Ia sangat rumit untuk memberi tumpuan kepada bola sepak selepas apa yang berlaku sebelum ini.

“Sebab ketika ini fikiran saya hanya tertumpu kepada Ukraine dan rakyat Ukraine. Perlawanan ini adalah antara permainan paling penting dalam hidup saya.

“Jadi kami mahu cuba membanggakan rakyat Ukraine dengan memenangi perlawanan ini,” katanya.

Untuk rekod, perlawanan menentang Scotland merupakan perlawanan kompetitif pertama buat Ukraine selepas pencerobohan Rusia sekaligus menyaksikan liga negara itu terpaksa ditunda.

“Kondisi kami sudah tentu tidak berada dalam keadaan baik tanpa perlawanan. Ia bukan senang untuk bermain dengan baik selepas sekian lama berehat.

“Bagaimanapun ia bukan alasan untuk kami tidak mampu beraksi dengan baik. Kami janji akan cuba berikan yang terbaik pada perlawanan ini.

“Kami akan cuba berikan senyuman kembali ke muka rakyat Ukraine dengan cuba memberi keputusan positif pada perlawanan ini,” katanya