X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Ringgit didagangkan sederhana kukuh berbanding dolar AS minggu depan

Ringgit dijangka didagangkan sederhana kukuh berbanding dolar AS minggu depan. - Gambar hiasan
A
A

RINGGIT dijangka didagangkan agak positif berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan pasaran pertukaran asing diramal mengalami beberapa pembetulan, menurut penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perbincangan mengenai kemungkinan berlakunya kemelesetan boleh menyebabkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menyemak semula strategi untuk mengetatkan monetari, terutamanya dalam berdepan gangguan rantaian bekalan.

"Selain itu, data tinjauan seperti Indeks Pengurus Pembelian (PMI) di seluruh dunia dilihat mereda buat seketika pada April, menggambarkan pengukuhan pemulihan ekonomi mungkin mengalami cabaran,” katanya kepada Bernama.

Justeru, Mohd Afzanizam berkata, kenaikan kadar faedah yang mungkin berhenti seketika akan memberi sokongan kepada ringgit dalam jangka sederhana.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, unit tempatan dijangka bergerak antara 4.3675 dan 4.3875 minggu depan dengan kecenderungan mengukuh.

"Sekiranya keteguhan pasaran global baru-baru ini berterusan dan harga minyak kekal pada paras tinggi, ringgit berbanding dolar AS boleh diuji pada paras 4.37 minggu depan,” katanya.

Selain itu, beliau menambah, satu lagi kenaikan disebabkan minyak dijangkakan berlaku minggu depan selepas sidang kemuncak Kesatuan Eropah mengenai sekatan ke atas minyak dan gas Rusia.

Bagi minggu baru berakhir, pergerakan ringgit berbanding dolar AS mengalami turun naik, dipengaruhi oleh yuan China, sentimen yang rapuh akibat persekitaran kadar faedah global, prospek ekonomi yang tidak meyakinkan serta harga minyak yang lebih tinggi.

Berasaskan mingguan, ringgit kukuh berbanding dolar AS pada 4.3775/3800 pada Jumaat berbanding 4.3870/3910 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama berasaskan Jumaat hingga Jumaat.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1962/1982 daripada 3.1845/1879 pada minggu sebelumnya dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.5170/5201 daripada 5.4732/4782 minggu lepas.

Ia berkurangan berbanding euro kepada 4.6905/6932 daripada 4.6445/6488 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.4450/4472 daripada 3.4236/4270 sebelum ini. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!