X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Kelemahan sistem pengurusan punca bekalan ikan berkurangan: LKIM

Masalah birokrasi dan sistem penyampaian yang lemah dikenal pasti sebagai punca kekurangan bekalan ikan di negara ini. - Gambar hiasan
A
A

TAIPING - Masalah birokrasi dan sistem penyampaian yang lemah dikenal pasti sebagai punca kekurangan bekalan ikan di negara ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kelemahan tersebut jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan kekurangan bekalan ikan terus berlarutan.

"Keadaan ini berlaku sehingga menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kesan kenaikan harga ikan dan rakyat memerlukan bantuan segera. Sekarang simpanan ikan tidak ada, kalau ada... kita boleh bagi percuma kepada rakyat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pengerusi LKIM Bersama Nelayan dan Masyarakat di Changkat Jering, dekat sini malam Jumaat.

Pada 22 Mei lepas, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, pendaratan ikan terutama di utara Semenanjung Malaysia berkurangan hingga 70 peratus iaitu daripada lebih sejuta tan kepada kira-kira 300,000 tan sebulan berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak dua bulan lepas.

Syed Abu Hussin berkata, beliau telah membentangkan masalah bekalan ikan kepada Lembaga Pengarah yang dianggotai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi supaya melakukan tindakan segera dalam hal itu, namun masih tiada jawapan balas.

"Sampai hari ini LKIM belum lagi mula menyimpan ikan sedangkan kita mempunyai kilang membeku ikan tetapi tidak jalan dan 1,000 tan metrik tong sejuk beku yang kita ada juga terbiar. Ikan sejuk beku boleh disimpan sehingga dua tahun,” katanya.

Beliau berkata, persediaan perlu dibuat dengan membeli lebih banyak ikan untuk disimpan memandangkan keadaan laut ketika ini bukan musim tengkujuh.

"Kita mempunyai Selat Melaka dan Laut China Selatan. Kalau terdesak dan ikan berkurangan... di mana kita hendak mencarinya. Bagi mengatasi krisis bekalan ikan, hendaklah cepat-cepat turun ke laut,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!