Parahnya kes rasuah di negara kita

Usaha menghapuskan rasuah ini bukan tugas mudah dan bukan juga boleh dilakukan sekelip mata. - Gambar hiasan
Usaha menghapuskan rasuah ini bukan tugas mudah dan bukan juga boleh dilakukan sekelip mata. - Gambar hiasan
A
A
A

KISAH dua pembantu kesihatan direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Jumaat berhubung kes urus jenazah dan meminta rasuah bagi urusan berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah antara yang menjadi perbualan ramai ketika ini.

Tidak terbayang dek akal sehinggakan dalam urusan jenazah wujud gejala tidak sihat sedemikian.

Benarlah rasuah kini semakin membarah dalam kalangan masyarakat di negara yang kita cintai ini.

Semakin kuat usaha ‘menggempur’ kesalahan-kesalahan berkaitan rasuah dilakukan pelbagai pihak terutama pihak berkuasa, namun ia tidak menggerunkan perasuah untuk menghentikan tabiat terkutuk itu.

Berbalik kepada kisah dua pembantu kesihatan itu, Majistret Nur Faizah Abdul Sani mengeluarkan perintah berkenaan selepas membenarkan permohonan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan kedua-dua suspek, bermula Jumaat sehingga Selasa depan.

Mereka yang berusia 40 hingga 42 tahun, direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan dua pembantu kesihatan dipercayai meminta suapan kira-kira RM15,000 untuk kerja-kerja pengurusan mayat dan mereka ditahan oleh SPRM.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki itu ditahan pada jam 4.45 petang selepas hadir di pejabat SPRM Selangor untuk memberi keterangan.

Jika sebelum ini, kebanyakan kes rasuah yang dilaporkan membabitkan syarikat-syarikat atau individu yang memegang jawatan besar, tetapi hari ini ia telah ‘meresap’ ke dalam masyarakat pelbagai peringkat.

Cerita rasuah kini bukan lagi cerita orang-orang besar sahaja tetapi telah membarah dalam masyarakat tanpa mengira jawatan atau latar belakang individu. Suatu kisah yang semakin membimbangkan.

Apa yang boleh dikatakan gejala rasuah di Malaysia yang kita cintai ini semakin parah dan ia perlu diperbetulkan semula sekiranya ingin melahirkan generasi masa hadapan yang bebas dan bersih daripada gejala rasuah.

Usaha menghapuskan rasuah ini bukan tugas mudah dan bukan juga boleh dilakukan sekelip mata, sebaliknya memerlukan kerjasama dan sokongan berterusan semua pihak.

Justeru, semua pihak perlu menggembeleng tenaga untuk sama-sama memberi kesedaran kepada orang ramai termasuk bermula di peringkat usia kanak-kanak mengenai bahaya rasuah.

Perbuatan keji ini perlu dihentikan kerana ia bukan sahaja boleh meruntuhkan masa depan individu tetapi negara yang kita cintai ini juga boleh musnah jika rasuah tidak dibendung dengan serius.