Masjid Tok Guru tarikan baharu golongan musafir

Masjid Tok Guru di Bandar Baru Tok Janggut, Pasir Puteh menjadi tumpuan utama golongan musafir untuk menunaikan solat dan berehat seketika sebelum menyambung perjalanan ke destinasi berikutnya.
Masjid Tok Guru di Bandar Baru Tok Janggut, Pasir Puteh menjadi tumpuan utama golongan musafir untuk menunaikan solat dan berehat seketika sebelum menyambung perjalanan ke destinasi berikutnya.
A
A
A

PASIR PUTEH – Masjid Tok Guru di Bandar Baru Tok Janggut, di sini menjadi tumpuan utama buat golongan musafir untuk menunaikan solat dan berehat seketika sebelum menyambung perjalanan ke destinasi berikutnya.

Masjid di bawah pengurusan Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Kelantan (PKPIK) turut menjadi salah satu daya tarikan baharu di kawasan bandar berkenaan.

Setiausaha masjid, Ahmad Hasbi Ab Rahman berkata, kedudukan masjid yang strategik berhampiran laluan utama menghala ke Kota Bharu dan Jerteh menjadi pilihan utama dalam kalangan musafir dan pelancong.

"Kedudukannya yang berhampiran restoran dan kedai makan turut membolehkan golongan musafir membuat pilihan untuk menikmati hidangan sebelum menyambung perjalanan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, masjid serba kondusif itu juga membuka ruang untuk orang ramai melaksanakan sebarang aktiviti bagi tujuan pengimarahan masjid.

Beliau berkata, sepanjang Ramadan tahun ini beberapa kumpulan jemaah melaksanakan majlis khatam al-Quran dan bertadarus.

Sehubungan itu, ujarnya usaha menaik taraf masjid sedang dilaksanakan.

"Kerja-kerja menaik taraf itu melibatkan pemasangan pendingin hawa, penukaran karpet yang lebih tebal, pengecatan semula masjid, pendawaian yang diselenggara, pembaikan atap bocor serta penyediaan wakaf untuk ruang rehat.

"Kerja-kerja naik taraf ini bagi memberikan keselesaan kepada golongan musafir," jelasnya.

Tambah Ahmad Hasbi, untuk merealisasikan semua itu, dana diperlukan dan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Masjid Tok Guru, CIMB 8603363050 atau hubungi talian 011-12904178.