Tidak semestinya lantik wanita jadi menteri

Dr Muhammad Faiz Na'aman (Kiri) & Wan Ahmad Fayhsal (Kanan)
Dr Muhammad Faiz Na'aman (Kiri) & Wan Ahmad Fayhsal (Kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, calon menteri baharu bagi menggantikan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin tidak semestinya datang daripada pemimpin wanita dalam parti berkenaan.

Katanya, kriteria utama perlu diambil kira dalam pemilihan tersebut adalah kebolehan dan kemampuan pemimpin berkenaan untuk melaksanakan tugas diberikan.

“Kita tidak lihat tempat Zuraida itu untuk wanita sahaja melainkan beliau adalah Ketua Srikandi Bersatu,” katanya.

Mengulas mengenai kriteria sesuai perlu diambil kira bagi pencalonan nama tersebut, beliau berkata, keutamaan lazimnya akan diberikan kepada ahli Parlimen dan diikuti oleh senator atau ahli MPT.“Itulah kelazimannya. Tapi, boleh juga dia tiba-tiba pergi lantik ahli Parlimen yang bukan MPT,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, MPT belum melakukan perbincangan untuk mencadangkan nama bagi tujuan tersebut.

Katanya, ini kerana keputusan untuk menamakan pengganti Zuraida bagi dirundingkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan hak prerogatif Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu.

“Kami di pihak pucuk pimpinan parti serahkan kepada Presiden (Muhyiddin) untuk berunding dengan Perdana Menteri,” katanya.