BIMB lancar Sadaqa House jaga kebajikan, pendidikan anak yatim

Mohd Nazri (kanan) Ismail dan Wan Mohamad ketika gimik Pelancaran Sadaqa House pada Jumaat.
Mohd Nazri (kanan) Ismail dan Wan Mohamad ketika gimik Pelancaran Sadaqa House pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) melancarkan satu dana khusus bagi memelihara kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim di Malaysia dari peringkat bayi sehingga remaja menerusi platform pendanaan awamnya, Sadaqa House.

la merupakan satu lagi inisiatif penting dalam memanfaatkan instrumen kewangan sosial Islam untuk melestarikan kehidupan masyarakat.

Dana bertemakan ‘From Cradle to Graduation’ itu juga direka khusus bagi memastikan pendidikan anak-anak tersebut tidak tercicir dan membolehkan mereka melanjutkan pendidikan hingga ke peringkat ljazah.

Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan BIMB, Mohd Nazri Chik berkata, menerusi misi 2040, Sadaqa House menyasarkan kutipan dana kekal sebanyak RM1 bilion dan berhasrat menyalurkan RM3 juta setiap bulan kepada pendidikan dan kebajikan anak-anak yatim di Malaysia melalui hasil pulangan pelaburan dan kekal dalam instrumen kewangan bersesuaian.

Mohd Nazri ketika ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Sadaqa House pada Jumaat.
Mohd Nazri ketika ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Sadaqa House pada Jumaat.

“Bagi memastikan manfaat terus disalurkan kepada anak-anak yatim yang layak, sebelum 2040, sebanyak 20 peratus daripada setiap sumbangan diterima akan disalurkan kepada inisiatif bersama rakan-rakan pelaksana manakala 80 peratus lagi dimasukkan terus dalam dana kekal berkenaan demi menjana hasil yang lestari.

“Justeru, melalui kerjasama rakan-rakan pelaksana yang dipilih, dana anak yatim Sadaga House ini memberi manfaat berkekalan kepada kebajikan dan pembangunan anak-anak yatim di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Sadaqa House di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut Mohd Nazri berkata, sebagai permulaan komitmen kepada usaha tersebut, pihaknya turut menyalurkan sebanyak RM761,000 untuk agenda-agenda yang dipersetujui bersama tiga rakan pelaksana Sadaqa House, OrphanCare Foundation, Pertubuhan Kebajikan Aak Yatim Malaysia (PEYATIM) dan Youth Empowerment Foundation (YEF).

“Untuk tahun ini sahaja, kita akan mulakan dengan 60 pelajar membabitkan 30 daripada pelbagai peringkat sekolah rendah dan menengah manakala 30 lagi di peringkat universiti dan pusat kemahiran,” katanya.

Penyerahan replika cek kepada wakil OrphanCare Foundation, PEYATIM dan YEF.
Penyerahan replika cek kepada wakil OrphanCare Foundation, PEYATIM dan YEF.

Majlis Pelancaran Sadaqa House itu dirasmikan oleh Pengerusi Kumpulan BIMB, Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz disertai 14 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Amal Rukaiyah, Kajang, Selangor.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Sadaqa House Orphan Fund di Bank Islam menerusi nombor akaun 140 140 101 88888 atau layari laman web Sadaqa House menerusi www.sadaqahouse.com.my untuk maklumat lanjut.