Ayuh Speedy Tigers tawan Asia!

Mirnawan menuntut skuad Speedy Tigers mengekalkan momentum positif bagi menghadapi aksi peringkat Super 4 Piala Asia 2022 di Jakarta. - Foto FB MHC
Mirnawan menuntut skuad Speedy Tigers mengekalkan momentum positif bagi menghadapi aksi peringkat Super 4 Piala Asia 2022 di Jakarta. - Foto FB MHC
A
A
A

SELEPAS berjaya menyambar tiket Piala Dunia 2023, skuad hoki senior lelaki negara kini memberi tumpuan untuk mengharungi peringkat Super 4 Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia.

Pengurus The Speedy Tigers, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, anak-anak buahnya harus fokus dan mengekalkan momentum sedia ada dalam misi mereka memburu gelaran juara Asia.

Malah, beliau meminta setiap pemain sekali lagi menampilkan rentak permainan terbaik sepertimana yang ditunjukkan dalam aksi peringkat Kumpulan B sebelum ini.

“Alhamdulillah... sasaran pertama pasukan negara (layak ke Piala Dunia 2023) telah tercapai. Bagaimanapun, tugas pasukan negara belum selesai kerana kita akan bersaing di peringkat Super 4.

“Jadi saya minta semua pemain memberikan fokus sepenuhnya dalam mengharungi peringkat Super 4 nanti. Jadikan kejayaan di peringkat kumpulan sebagai momentum.

“Buat masa ini, kami mahu ketepikan dulu soal Piala Dunia 2023. Apa yang lebih penting sekarang pasukan menumpukan perhatian bagi memastikan kita layak ke final Piala Asia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Dalam aksi Kumpulan B sebelum ini, Speedy Tigers berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menewaskan Oman 7-0, menang 5-4 ke atas Korea Selatan sebelum membenam Bangladesh 8-1.

Tiga kemenangan berturut-turut itu menyaksikan skuad kendalian Arul Selvaraj itu muncul juara Kumpulan B, sekali gus melayakkan diri ke peringkat Super 4.

Selain Malaysia, turut mara ke peringkat Super 4 ialah naib juara Kumpulan B, Korea Selatan selain juara Kumpulan A, Jepun dan naib juara Kumpulan B, India.

Kemenangan besar India ketika membelasah Indonesia 16-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A pada Khamis membolehkan Malaysia melayakkan diri ke Piala Dunia 2023.

Tiga daripada empat pasukan yang layak beraksi dalam saingan Super 4 secara automatik layak ke Piala Dunia 2023 selepas India meraih tiket selaku tuan rumah.

“Ini peluang kita untuk mencipta satu lagi sejarah dengan menjuarai Piala Asia. Disebabkan itu, saya minta setiap pemain terus bekerja keras bagi memastikan kejayaan pasukan.

“Di peringkat Super 4 ini, peluang agak seimbang buat kesemua empat pasukan. Jadi bukan sesuatu yang mustahil jika pasukan negara mampu muncul juara,” jelas Mirnawan.

Malaysia akan memulakan saingan Super 4 yang dijalankan secara liga sepusingan bertemu Korea Selatan pada 28 Mei, Sabtu sebelum berdepan India (29 Mei, Ahad) dan Jepun (31 Mei, Selasa).

Mengikut format pertandingan, dua pasukan teratas akan berentap di pentas final manakala dua lagi pasukan berentap dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.