Zuraida sukar raih sokongan pengundi

Mohd Azizuddin
Mohd Azizuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) mungkin menyebabkan beliau berdepan kesukaran untuk meraih sokongan pengundi.

Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, apatah lagi PBM merupakan parti baharu yang masih belum dikenali ramai.

Menurutnya, kekuatan Zuraida itu sebenarnya banyak didokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini.

“Apabila beliau lompat masuk Bersatu, sedikit sebanyak boleh bertahan lagi walaupun baharu, tetapi masih parti kerajaan.

“Namun PBM ini parti baharu dan kebanyakannya bekas penyokong PKR yang keluar (parti). Jadi untuk beliau mendapat sokongan untuk bergerak dalam PBM agak sukar.

“Orang pun tidak kenal sangat PBM, jadi untuk beliau bertanding, mungkin agak sukar nak dapat peluang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Apa-apa pun bergantung bagaimana Zuraida meyakinkan pengundi di kawasan Parlimen Ampang kenapa beliau melompat parti kali kedua. Kalau rakyat yakin, mereka akan sokong, kalau tidak, sukar beliau mendapat kepercayaan rakyat lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Khamis, Zuraida berhasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai PBM.