Golden Takoyaki ubah kehidupan, raih pendapatan lima angka sebulan

Haz Syafi eq (kanan) bersama pekerja di hadapan Restoran Golden Takoyaki miliknya di Sungai Kapar Indah, Kapar.
Haz Syafi eq (kanan) bersama pekerja di hadapan Restoran Golden Takoyaki miliknya di Sungai Kapar Indah, Kapar.
A
A
A

Selepas berhenti sebagai kakitangan kerajaan pada 2012, Haz Syafieq Fahmi Abd Hadi, 39, melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga.

Tiga tahun kemudian, bapa seorang anak itu mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan makanan kudapan Jepun yang terkenal ketika itu iaitu takoyaki namun dengan resipi berbeza.

Dengan modal permulaan sebanyak RM5,000, Haz Syafieq memulakan perniagaan menerusi ilham dan inspirasi daripada isterinya, Erma Aiyrin Rosli, 37.

"Isteri menggemari makanan itu dan saya beritahu inilah produk yang kita akan jual," katanya mengimbas kembali permulaan syarikat Golden Takoyaki dibangunkan.

Keberaniannya datang selepas berjaya melakukan penyelidikan kaedah menyediakan hidangan itu daripada pelbagai sumber sebelum benar-benar mahir.

Peringkat awal beliau membuka tapak di bahu jalan termasuk di pusat pengajian tinggi secara bergerak di seluruh negara.

HAZ SYAFIEQ
HAZ SYAFIEQ

"Takoyaki yang dihasilkan oleh Golden Takoyaki berbeza kerana kami menggunakan kaedah menggoreng dan ia resipi kajian saya sendiri," katanya.

Golden Takoyaki kemudiannya beroperasi di restoran di Sungai Kapar Indah, Kapar dengan modal sebanyak RM50,000 awal tahun lalu.

"Di restoran, kami menyediakan pelbagai hidangan gabungan resipi barat dan timur namun hidangan utama adalah takoyaki pelbagai perisa seperti octopus, chicken cheese, crab, prawn, lobster, beef dan salmon dengan ‘topping’ yang istimewa," katanya.

Jenama itu kemudiannya semakin berkembang selepas Haz Syafieq menyertai program Transformasi Perniagaan (BIT) kendalian Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) pada April 2021.

"Sebelum ini kami tiada cawangan dan selepas itu saya berjaya membuka satu lagi cawangan di Taman Medan yang dikhususkan untuk membekal produk takoyaki sejuk beku.

“Saya menyasarkan untuk membuka 10 lagi cawangan selepas ini termasuk di luar Selangor dan berhasrat memulakan operasi kilang memproses takoyaki," katanya.

Golden Takoyaki berbeza malah lebih cepat dihasilkan berbanding takoyaki di pasaran kerana menggunakan kaedah menggoreng daripada produk sejuk beku.
Golden Takoyaki berbeza malah lebih cepat dihasilkan berbanding takoyaki di pasaran kerana menggunakan kaedah menggoreng daripada produk sejuk beku.

Golden Takoyaki bakal menawarkan pakej francais kepada peniaga golongan B40 untuk memulakan perniagaan takoyaki tanpa modal.

"Kami membekalkan bahan mentah, memberi latihan dan menyediakan peralatan untuk mulakan perniagaan takoyaki dengan nama Golden Takoyaki," katanya.

Sebelum ini katanya, Golden Takoyaki mempunyai perniagaan tetapi tidak tahu cara untuk dijadikan francaisor.

"Selepas dipertemukan dengan Pernas dan menyertai program BIT, pelbagai ilmu didapati termasuk kelas pemasaran, pengurusan dan banyak lagi.

"Kini kami mampu meraih pendapatan sehingga lima angka sebulan dan ia semakin berkembang dengan bantuan lapan pekerja beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam," katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program BIT Pernas, layari www.pernas.my.