Malaysia, Jepun perkukuh kerjasama dalam industri pesawat

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida (kanan) menyaksikan Pertukaran Memorandum Kerjasama di antara Mohamed Azmin (dua dari kiri) dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Koichi Hagiuda (dua dari kanan) di Pejabat Perdana Menteri Jepun di Tokyo hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida (kanan) menyaksikan Pertukaran Memorandum Kerjasama di antara Mohamed Azmin (dua dari kiri) dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Koichi Hagiuda (dua dari kanan) di Pejabat Perdana Menteri Jepun di Tokyo hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia memperkukuh kerjasama dengan Jepun melalui penubuhan rangka kerja untuk mewujudkan rantaian bekalan yang mampan bagi industri pesawat di kedua-dua negara.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, kedua-dua negara hari ini bertukar-tukar Memorandum Kerjasama (MOC) berhubung industri pesawat, yang dijangka turut mendorong lebih banyak pertukaran pengetahuan di antara Malaysia dengan Jepun melalui usaha bersama.

"Pejabat Penyelaras Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO Malaysia) akan menjadi tumpuan utama kepada inisiatif MOC berkenaan terutamanya dalam kejuruteraan dan reka bentuk, pembuatan aeroangkasa; penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; penyelidikan dan teknologi; dan pembangunan modal insan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kanan MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertukar MOC itu dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Koichi Hagiuda dalam satu majlis yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya, Fumio Kishida.

Ismail Sabri dalam lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam hari mulai 23 Mei.

Menurut MITI, pelaburan aeroangkasa Jepun di Malaysia pada masa ini tertumpu terutamanya dalam perkhidmatan kejuruteraan dan pembuatan aeroangkasa.

"Dengan adanya MOC tersebut, lebih banyak peluang dalam subsegmen lain boleh diteroka oleh kedua-dua pemain industri aeroangkasa untuk faedah bersama,” katanya.

Kementerian berkata, sejak sekian lama Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) telah bekerjasama dengan Persatuan Syarikat-syarikat Aeroangkasa Jepun (SJAC) untuk membangunkan hubungan perindustrian yang kukuh melibatkan penggiat tempatan kedua-dua negara.

Syarikat seperti Spirit AeroSystems Malaysia, SME Aerospace dan Strand Aerospace Malaysia telah bekerjasama dengan syarikat-syarikat Jepun seperti MHI, Kawasaki, Asahi, Mitsua dan Wada dalam kedua-dua program pesawat barat dan Jepun, katanya.

"Sepanjang pandemik, MAIA dan SJAC telah berkongsi pandangan dan amalan terbaik untuk menangani cabaran dalam rantai bekalan, dan melalui MOC tersebut, peluang yang lebih baik dijangka wujud kepada industri domestik untuk bersandar kepada rantaian bekalan dan nilai yang dipertingkatkan, seiring dengan kerjasama lebih besar daripada pertumbuhan industri pesawat di Malaysia,” katanya.

Satu sasaran utama daripada kerjasama yang dipertingkatkan itu adalah penerimagunaan teknologi maju dan pendigitalan adalah penting untuk mencapai rantaian bekalan yang mampan yang mana transformasi adalah diperlukan bagi syarikat, pembekal dan penyedia perkhidmatan dan utiliti.

MOC tersebut akan menyokong inisiatif Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Negara Malaysia untuk membangunkan kepakaran tempatan yang mampu mengembangkan ekosistem negara dan menyokong keperluan industri.

MITI berkata, MOC tersebut adalah seiring dengan aspirasi yang digariskan di bawah Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 dan Rangka Kerja Industri Aeorangkasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Kedua-dua dokumen dasar itu menumpukan perhatian kepada transformasi digital aeroangkasa dan Industri 4.0, pengukuhan ekosistem dan pembangunan modal insan.

Pada 2021, Jepun merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam industri aeroangkasa dengan jumlah perdagangan barang niaga aeroangkasa mencapai RM260.6 juta, menyumbang 1.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia dalam industri aeroangkasa.

MITI berkata, melalui pelbagai usaha bersepadu dalam melaksanakan strategi pembangunan perindustrian, industri aeroangkasa Malaysia dijangka menyumbang perolehan tahunan berjumlah RM30 bilion dan mencipta 30,000 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2025. - Bernama