Dua remaja lemas ketika mandi sungai

Lokasi tiga remaja warga Thailand mandi-manda.
Lokasi tiga remaja warga Thailand mandi-manda.
A
A
A

KUALA KRAI - Dua remaja ditemukan lemas manakala seorang lagi dikhuatiri hilang semasa mandi-manda di Sungai Kelantan berhampiran pengkalan feri, Kampung Pasir Kelang, di sini, pada jumaat.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu mangsa lemas merupakan warga Thailand dikenali sebagai Nikallia, 15 dan Kunabeela, 15, sementara Nihadle, 13, masih belum ditemukan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, hasil siasatan awal mendapati seramai lima orang telah pergi memancing di tepi jeti Pengkalan Feri, Pasir Kelang pada jam 4 petang.

"Pada jam 4.30 petang, ketiga-tiga mangsa pergi ke sungai berdekatan dengan pengkalan feri untuk mandi-manda," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Menurutnya, bagaimanapun ketiga-tiga remaja berkenaan dibawa arus sungai hingga tidak dapat dilihat oleh rakan-rakannya.

Suzaimi berkata, dua lagi rakan yang melihat kejadian tersebut meminta bantuan orang kampung untuk menyelamatkan mangsa.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terpaksa ditangguhkan dan disambung pada esok," katanya.