Pejuang tidak terlibat dalam gerakan parti lain

Mukhriz (empat dari kanan) meraikan pemimpin setempat dari pelbagai parti politik yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri AhIi Parlimen Jerlun di Dataran Sungai Korok pada Jumaat.
Mukhriz (empat dari kanan) meraikan pemimpin setempat dari pelbagai parti politik yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri AhIi Parlimen Jerlun di Dataran Sungai Korok pada Jumaat.
A
A
A

JERLUN - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) lebih selesa memainkan peranan sebagai blok ketiga, selain tidak terlibat dalam mana-mana gerakan bersama mana-mana parti untuk menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu yang baharu berusia setahun jagung tidak berupaya untuk menjatuhkan sebuah kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, biarpun begitu, Pejuang mengambil sikap terbuka untuk ‘berkawan’ dengan semua parti dan menghormati pendirian masing-masing.

“Pejuang adalah blok ketiga, bukanlah ada ramai sangat pun. Kalau mahu mendekati siapa-siapa pun, buat masa inilah dalam senario politik sekarang, kami tak berupaya untuk menjatuhkan sebuah kerajaan baik di peringkat negeri atau Persekutuan,” katanya selepas ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri AhIi Parlimen Jerlun di Dataran Sungai Korok di sini pada Jumaat.

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata demikian ketika mengulas kemungkinan Pejuang bercadang untuk mendekati Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menarik sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mukhriz tegaskan, perjumpaan dengan beberapa rakan politik berbeza parti adalah perkara biasa untuk mendapatkan pandangan masing-masing.

“Walaupun begitu, kita sebenarnya berjumpa dengan semua orang. Bercakap dengan semua orang, ada yang datang jumpa sembang-sembang kosong saja, nak tahu pendirian masing-masing. Itu memang terus berjalan di sebalik tabir,” katanya.

Pada Khamis, Datuk Zuraida Kamaruddin meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai PBM.

Zuraida bagaimanapun menyatakan kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri selari dengan pendirian PBM.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata PBM adalah parti yang mesra kepada kerajaan sedia ada, iaitu Perikatan Nasional (PN) dan tindakan Zuraida itu tidak akan mengubah situasi politik sedia ada.

Beliau turut menangkis dakwaan kononnya terdapat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang merupakan proksi kepada Zuraida sedang mengusahakan gerakan merekrut ahli PBM dengan memancing ahli parti lain.

“Itu kena tanya mereka, nak buat spekulasi macam-macam pun bimbang disalah tafsir. Kami sekarang pembangkang, tiada siapa pun ADUN yang nak lompat balik ke belah kami untuk tubuh kerajaan baharu, yang itu tak akan berlaku,” katanya lagi.