Inkues Adib: Cik Miera buat 'U Turn' di mahkamah

A
A

Inkues Adib: Cik Miera buat 'U-Turn' di mahkamah

Jururawat Institut Jantung Negara (IJN) Siti Shafika Amira Mohd Rasani yang membuat kritikan terhadap kenyataan Doktor Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur, berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, memberi keterangan 'pusingan U' berbanding hantaran di Facebook miliknya, Cik Miera, Jumaat lalu.

Siti Shafika, yang merupakan saksi ke-25, Inkues Kematian Muhammad Adib, mengakui hantaran melalui akaun Facebooknya berdasarkan emosi semata-mata.

Justeru, Siti Shafika,27, yang berpengalaman selama enam tahun sebagai jururawat memohon maaf.

Jururawat itu memberitahu, dia telah dipanggil oleh Ketua Jururawat dan Pengurus Besar Jabatan Sumber Manusia IJN untuk penjelasan berhubung kenyataannya di Facebook.

Namun katanya, keterangannya di mahkamah hari ini tidak dipengaruhi sesiapa.

Terdahulu, Siti Shafikah memberitahu mahkamah, dia terlibat sebanyak tiga kali sepanjang Muhammad Adib dirawat di IJN.

Kenapa jual menara di Hong Kong secara rundingan terus, Guan Eng tanya Najib

Menteri kewangan meminta bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan keputusan kerajaan terdahulu pimpinannya menjual tanah dan sebuah menara milik kerajaan di Hong Kong pada harga RM1.1 bilion menerusi rundingan terus yang akan menyebabkan Putrajaya kerugian RM500 juta.

Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, kementeriannya dengan kelulusan Kabinet memutuskan tanah dan bangunan 28 tingkat di Jalan Gloucester, Wanchai dijual secara tender terbuka, bukannya rundingan terus seperti diputuskan kerajaan terdahulu.

Semalam, Guan Eng dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan menerima beberapa tawaran mencecah RM1.6 bilion, RM500 juta lebih tinggi daripada harga ditawarkan sebuah syarikat Malaysia menerusi rundingan terus kepada kerajaan terdahulu sebelum pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

Katanya, kerajaan pimpinan Najib memutuskan untuk menjual tanah dan bangunan yang menempatkan pejabat Konsulat Malaysia itu kerana tidak mampu menanggung kos baik pulih sebanyak RM300 juta.

Kes SRC Najib bakal bermula tidak lama lagi

Kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka bermula tidak lama lagi.

Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mendapati bahawa Mahkamah Rayuan yang mengeluarkan perintah membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan kes itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.

Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum, yang mengetuai tujuh hakim, menyampaikan keputusan mereka selepas mendengar hujah dari peguam Najib, Harvinderjit Singh dan Peguam Negara, Tommy Thomas, yang mengetuai pasukan pendakwa.

Malanjum berkata Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengketepikan keputusan Mahkamah Rayuan, dan menghantar kes itu semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bekas naib presiden MIC antara 4 maut nahas di Johor

Bekas naib presiden MIC, S Balakrishnan antara 4 mangsa maut dalam kemalangan di KM33 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Kulai, tengah malam semalam.

Dilaporkan 3 lagi mangsa korban ialah G Ravi, 55, A Ragu, 47, dan V Vishnukumar, 44, manakala 2 lagi lelaki dalam kenderaan yang dinaiki Balakrishnan dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah Kulai, Tok Beng Yeow dalam satu kenyataan berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira 12.10 tengah malam, apabila sebuah lori kontena hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

Ia kemudiannya melanggar Toyota Vellfire dinaiki semua mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Jual semula rumah mampu milik kepada KPKT

Rumah mampu milik yang sedang dibina tahun ini hanya boleh dijual semula kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, peraturan baharu tersebut sedang diperhalusi untuk dimasukkan di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.

Kata beliau, langkah itu bertujuan memastikan hanya golongan tidak berkemampuan menetap di rumah mampu milik dan bukannya mereka yang tidak berkelayakan.

Sebelum itu semasa menjawab Perbahasan Titah Diraja kementeriannya, Zuraida berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengadakan perbincangan dengan Majlis Peguam sekiranya boleh mengecualikan kos guaman kepada kumpulan berpendapatan rendah untuk membeli rumah.