X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Pengusaha taska, tadika diminta patuhi SOP KKM: Rina

Rina meninjau pematuhan garis panduan operasi taska bagi mengelakkan jangkitan HFMD di Taska Penyayang Bakti di Putrajaya, pada Jumaat.
A
A

PUTRAJAYA - Pengusaha pusat jagaan kanak-kanak, taska dan tadika diminta terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penyakit-penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengedarkan garis panduan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) yang dikeluarkan KKM kepada pengusaha-pengusaha pusat jagaan, taska dan tadika seluruh negara untuk dirujuk.

"Saya memandang serius peningkatan jangkitan HFMD ini terutama di bawah taska-taska yang berdaftar di bawah Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

"Garis panduan penyakit HFMD yang diedarkan kepada pusat-pusat asuhan dan taska perlu dipatuhi bukan sahaja untuk mengekang penyakit HFMD tetapi juga penularan penyakit berjangkt lain," katanya selepas meninjau pengoperasian Taska Penyayang Bakti yang menempatkan 63 kanak-kanak di sini, pada Jumaat.

Rina menambah, ibu bapa perlu mengambil berat mengenai isu ini, melakukan langkah pencegahan dan memastikan anak-anak yang bergejala awal seperti demam, ulser, ruam di tangan dan kaki dibawa ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, pengusaha juga boleh menjalankan aktiviti sanitasi lebih kerap dan konsisten selain pemeriksaan anak-anak asuhan serta mengutamakan aspek kebersihan di taska dan tadika.

"Kementerian akan terus memantau isu ini dan diharapkan semua taska dapat mematuhi SOP-SOP yang telah ditetapkan oleh KKM bagi menjamin keselamatan dan kesihatan anak-anak," ujarnya.

Selain itu katanya, ibu bapa yang mendapati anak-anak yang mempunyai simptom juga digesa mengasingkan mereka bagi mengelakkan kanak-kanak lain dijangkiti.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!