X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Malaysia, Thailand tetapkan resolusi jaga keselamatan sempadan

Hishammuddin (kanan) berjabat tangan dengan Jeneral Prawit Wongsuwan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Ke-55 antara Malaysia dan Thailand di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Thailand telah bersetuju untuk mencegah ancaman bukan tradisional di sepanjang sempadan dengan memperkukuh maklumat tertutup dan pertukaran risikan antara agensi-agensi sempadan.

Perkara itu adalah antara resolusi yang ditetapkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Ke-55 antara Malaysia dan Thailand di sini semalam.

Menteri Pertahanan Malaysia dan Thailand dalam kenyataan bersama semalam berkata, mesyuarat yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dari Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan turut bersetuju untuk menambah baik keberkesanan operasi bersama sebagai satu kaedah membendung penularan jangkitan Covid-19.

"Malaysia dan Thailand juga bersepakat untuk memudahkan aktiviti rentas sempadan yang mengikut undang-undang untuk pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh komuniti kawasan sempadan.

"Kedua-dua negara juga akan membina komunikasi dengan pelantikan Pegawai Perhubungan bagi kesiapsiagaan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di sepanjang sempadan bersama,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat selama satu jam itu turut memutuskan untuk menganjurkan Joint Combined Exercise Committee Thailand-Malaysia (JCEC THAMAL) Keempat dengan kemungkinan menjemput anggota ASEAN dan negara-negara sekutu sebagai pemerhati dan peserta.

"Ia dijangkakan diadakan pada 2024 dengan memfokuskan pada bantuan kententeraan dari negara anggota ASEAN berlatarbelakangkan HADR dan akan menekankan terutamanya pada mempromosi peranan pelatih wanita dan prestasi perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS),” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat GBC tahun ini turut berpuas hati dengan kemajuan aktiviti-aktiviti termasuk aktiviti operasi, aktiviti pengurusan sempadan dan lain-lain inisiatif pembangunan sosioekonomi yang dijalankan di sepanjang sempadan, yang telah dikaji semula dan dilaporkan oleh jawatankuasa dari kedua-dua negara.

"GBC memperakui laporan kemajuan yang dihantar oleh kedua-dua negara yang membentangkan perancangan dan menjalankan pelbagai aktiviti oleh agensi-agensi ditetapkan dan rakan sejawat mereka,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat GBC Ke-56 dijangka bersidang pada 2023 dan akan dianjurkan oleh Thailand.

Sebelum mesyuarat itu, Hishammuddin telah menerima kunjungan hormat Prawit dan delegasi Thailand di Wisma Pertahanan, di sini semalam.

Prawit yang tiba pada pukul 11 pagi telah disambut dengan kawalan kehormatan utama oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja melibatkan 104 pegawai dan anggota, diketuai Mejar Mohd Noornazmin Abd Rahim.

Kunjungan kali pertama Thailand ke Malaysia selepas pandemik Covid-19 itu antara lain bertujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara serta bertukar pandangan dan perkongsian maklumat bagi kebaikan serantau.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Delegasi Thailand yang turut serta adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Chaichan Changmongkol; Ketua Pasukan Pertahanan, Jeneral Chalermpol Srisawat dan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Nasional, Jeneral Supot Malaniyom. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!