Ibu, nenek saudara ditahan disyaki terlibat kes dera

Asisten Komisioner Soffian Santong
Asisten Komisioner Soffian Santong
A
A
A
GEORGETOWN - Dua wanita warga tempatan ditahan bagi membantu kes dera melibatkan dua kanak-kanak di sebuah rumah flat di Air Itam, di sini.

Kedua-dua mereka yang juga ibu kandung dan nenek saudara kepada mangsa ditahan pada jam 11.15 pagi, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tangkapan suspek berusia 28 dan 52 tahun itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan pada jam 8 pagi, Jumaat.

Menurutnya, laporan polis dibuat di Balai Polis Air Itam berkaitan satu hantaran di Facebook oleh orang awam mengenai gambar dua kanak-kanak yang sedang makan di sebuah restoran dengan kesan kecederaan di bahagian muka.

"Lelaki itu membuat laporan polis kerana mengesyaki kedua-dua kanak-kanak berkenaan berkemungkinan mangsa dera. Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut menyerbu dan memeriksa sebuah rumah flat di Air Itam.

"Pemeriksaan itu berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Soffian, pemeriksaan awal pada badan kedua-dua kanak-kanak itu mendapati kesan luka dan lebam di bahagian muka dan badan disyaki akibat didera.

"Kedua- dua mangsa dirujuk ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Timur Laut di talian 04-2181822 atau pergi ke mana-mana balai polis berhampiran.