Wartawan perlu serap teknologi, perubahan

Wartawan kini perlu melakukan tugasan yang pelbagai. - Gambar hiasan 123rf
Wartawan kini perlu melakukan tugasan yang pelbagai. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wartawan pada zaman ini perlu menyerap teknologi dan perubahan dengan secepat mungkin.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin berkata, selain itu, wartawan kini perlu melakukan tugasan yang pelbagai.

"Tangan kiri buat benda lain, tangan kanan boleh buat benda lain. Begitulah cabarannya. (Contohnya) menulis, mengambil gambar dan mengambil video," katanya kepada Sinar Harian di Wisma Bernama pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 yang bakal berlangsung pada Ahad ini di Melaka.

Hawana 2022 dianjurkan bagi mengiktiraf peranan golongan wartawan dan pengamal media Malaysia, selain platform kepada pengamal media untuk berkongsi pendapat dan meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri media di Malaysia.

Bernama dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) akan menjadi penggerak utama penganjuran Hawana 2022, dengan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan turut melibatkan organisasi, persatuan dan pengamal media lain.

Roslan menambah, beliau turut melihat wartawan Malaysia berada di tahap yang baik daripada segi ilmu dan teknologi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cabaran di era pandemik Covid-19, Roslan berpandangan ia membuatkan tugas wartawan bertambah penting.

"Sebab apa? Semua orang duduk di rumah. Kalau tidak ada berita apa jadi? Suram. Kita tak tahu nak buat apa," katanya.

Tambahnya, wartawan yang bertugas di era pandemik Covid-19 juga perlu melakukan penyesuaian dalam tugasan mereka.

"Kita membuat banyak perubahan, kita menggunakan banyak teknologi. Masa itulah kita dididik kalau tidak membawa telefon bimbit, tidak boleh menghantar bahan. Di sinilah teknologi itu penting (iaitu) alat komunikasi yang utama," jelasnya.

Sementara itu, Roslan turut bersetuju bahawa latihan kepada wartawan perlu sentiasa dipertingkatkan.

"Saya setuju kita perlu tingkatkan latihan. Tidak cukup latihan di peringkat universiti. Kadang-kadang wartawan ini kita juga ambil dalam bidang lain yang tidak dilatih khusus.

"Contohnya di Bernama. Walaupun seorang dalam bidang komunikasi dan seorang lagi bukan dalam bidang komunikasi, apabila masuk ke Bernama dia akan diberi latihan, didikan dan bimbingan berterusan sepanjang karier," katanya.