Insiden Tak Bai jejas pendapatan pemandu kereta sewa Pengkalan Kubor

Rozali (kiri) dan pemandu kereta di Pengkalan Kubor, Tumpat terpaksa berehat untuk sementara waktu susulan insiden letupan bom dan aksi berbalas-balas serangan yang berlaku di pekan Tak Bai, wilayah Narathiwat pada Rabu.
Rozali (kiri) dan pemandu kereta di Pengkalan Kubor, Tumpat terpaksa berehat untuk sementara waktu susulan insiden letupan bom dan aksi berbalas-balas serangan yang berlaku di pekan Tak Bai, wilayah Narathiwat pada Rabu.
A
A
A

TUMPAT - Pendapatan pemandu kereta sewa di Pengkalan Kubor di sini terjejas susulan insiden letupan bom dan berbalas serangan di pekan Tak Bai, wilayah Narathiwat pada Rabu.

Pengerusi Persatuan Pemandu Kereta Sewa Pengkalan Kubor, Rozali Abdul Rahim berkata, warga Thailand merupakan kumpulan utama yang menggunakan perkhidmatan kereta sewa dari Pengkalan Kubor ke Kota Bharu dan kawasan sekitar.

"Apabila perkhidmatan feri dari Tak Bai ke Pengkalan Kubor dibekukan sementara, ia menjejaskan periuk nasi pemandu di sini," katanya.

Menurutnya, situasi itu sukar untuk ditempuhi selepas berdepan pandemik Covid-19 dua tahun lalu yang menyaksikan mereka terpaksa menggunakan segala tabungan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 Mei lalu memberikan sinar baharu buat mereka.

"Bagaimanapun insiden Tak Bai itu sekali lagi menguji kantung kewangan pemandu kereta sewa di Pengkalan Kubor.

"Saya harap keadaan akan kembali pulih seperti biasa dan kami pemandu kereta sewa di sini dapat mencari rezeki seperti biasa," katanya.

Media melaporkan Ketua Polis Narathiwat Mejar Jeneral Pol Waesame Salae berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 9 malam (waktu tempatan) di pos kawalan marin yang terletak berdekatan dengan Pengkalan Kubor, di Tumpat, Kelantan di sebelah Malaysia.

Tiga anggota sukarelawan polis marin cedera dalam insiden letupan bom dan berbalas tembakan di Pekan Tak Bai yang terletak berhampiran sempadan Thailand-Malaysia pada Rabu malam.

Sekumpulan 10 lelaki yang dipercayai anggota militan melepaskan tembakan bertubi-tubi dan melontar bom paip ke dari arah daratan dan sungai dalam kejadian yang berlanjutan kira-kira 30 minit.

Penduduk Pengkalan Kubor dikatakan turut mendengar dengan jelas bunyi letupan bom dan tembakan itu.