X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Eksport pakaian, kelengkapan terpilih meningkat RM499.9 juta

Lima negeri pengeksport utama dengan Pulau Pinang kekal di kedudukan teratas diikuti Johor, Selangor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Eksport pakaian dan segala kelengkapan pakaian terpilih meningkat 18.5 peratus tahun ke tahun kepada RM499.9 juta, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Di peringkat negeri, Johor mencatatkan eksport tertinggi bagi pakaian dan kelengkapan terbabit bernilai RM272.7 juta (54.5 peratus) dan diikuti oleh Selangor (RM104.3 juta, 20.9 peratus) serta Perlis (RM41.0 juta, 8.2 peratus).

"Eksport pada April 2022 meningkat sebanyak RM21.9 bilion (+20.7 peratus) berbanding bulan sama tahun sebelumnya manakala import juga meningkat RM18.7 billion (+22.0%) pada April 2022 berbanding bulan sama 2021,” kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Pada April 2022, yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut beliau, eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM9.0 bilion), Selangor (+RM3.7 bilion), Sarawak (+RM3.4 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM1.7 bilion), Sabah (+RM1.6 bilion), Johor (+RM1.6 bilion) dan Kedah (+RM1.3 bilion).

Bagaimanapun, eksport susut di Melaka (-RM631.4 juta), Terengganu (-RM349.2 juta), Negeri Sembilan (-RM324.0 juta) dan Perak (-RM280.1 juta).

Mengulas prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata, import meningkat RM18.7 bilion (+22.0 peratus) pada April 2022 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

"Peningkatan import dicatatkan di Pulau Pinang (+RM5.4 bilion), Selangor (+RM3.0 bilion), Melaka (+RM2.2 bilion), Kedah (+RM1.7 bilion), Johor (+RM1.5 bilion) dan Kuala Lumpur (+RM1.4 bilion),” katanya.

Import bagaimanapun susut di Kelantan (-RM170.7 juta), Sabah (-RM102.0 juta) dan di Terengganu (-RM38.6 juta).

"Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal di kedudukan teratas sebanyak 29.3 peratus dan diikuti oleh Johor (20.0 peratus), Selangor (19.5 peratus), Sarawak (8.1 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.3 peratus),” katanya.

Beliau berkata bagi import, Selangor kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 25.6 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (23.4 peratus), Johor (18.3 peratus), Kuala Lumpur (7.3 peratus) dan Kedah (5.7 peratus).

Pada minggu lepas, Jabatan Perangkaan telah mengumumkan data perdagangan bagi April 2022 yang meningkat 21.3 peratus tahun ke tahun kepada RM231.4 bilion dengan eksport meningkat 20.7 peratus kepada RM127.5 bilion manakala import bernilai RM103.9 bilion (+22.0 peratus). - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!