Lelaki gagal bayar 60 kompaun parkir MPKL sejak 2008

Mahkamah Telok Datok menjatuhkan hukuman terhadap seorang lelaki berusia 40-an kerana gagal membayar kompaun parkir MPKL sejak tahun 2008.
Mahkamah Telok Datok menjatuhkan hukuman terhadap seorang lelaki berusia 40-an kerana gagal membayar kompaun parkir MPKL sejak tahun 2008.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok pada Khamis kerana gagal membayar kompaun parkir Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) sejak tahun 2008.

MPKL menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan Majistret, Khairul Farhi Yusob menjatuhkan hukuman denda terhadap tertuduh, 40an, di bawah Perintah Pengangkutan Jalan Perenggan 8, MDKL Tahun 2007 atas kesalahan tidak membayar parkir.

"Tertuduh mengaku bersalah di atas kesalahan berkenaan dan dikenakan denda sebanyak RM150 atau penjara selama tiga hari," kata kenyataan itu pada Khamis.

Tambahnya, pendakwaan dilakukan oleh Ketua Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abd Rahim yang dibantu oleh Pegawai Pendakwa, MPKL, Ahmad Razali Abdul Manaf,

"Tertuduh telah membayar denda tersebut.

"Lelaki tersebut mempunyai 60 kompaun sejak 2008 yang masih belum dijelaskan yang mengakibatkan beliau didakwa ke Mahkamah hari ini," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, individu atau syarikat yang dikenakan kompaun perlu menjelaskan kompaun tersebut secepat mungkin.

Katanya, MPKL turut memberikan tawaran diskaun bayaran kompaun parkir dan akan tamat pada 9 September tahun ini bersempena dengan Ulang Tahun pertama pengisytiharan MPKL.

"Tawaran diskaun kompaun parkir bagi kompaun sebelum tahun 2019 adalah sebanyak RM15 (satu kompaun), manakala bagi tahun 2020 hingga 2022 pula adalah sebanyak RM10 (satu kompaun)," katanya.