KSN bakal dipanggil PAC isu pelaksanaan VEP

Dr Ronald Kiandee
Dr Ronald Kiandee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar bakal dipanggil Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung pelaksanaan Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP).

Pengerusi PAC, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, selain Ismail turut akan dipanggil ialah syarikat yang terlibat dengan projek tersebut.

“Beliau (Ismail) pada ketika itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT),” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Parlimen, di sini, hari ini.

Prosiding yang berlangsung hari ini menyaksikan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dipanggil memberi keterangan selama hampir dua jam.

Ronald yang berpuas hati dengan prosiding hari ini mengesahkan tiada keperluan untuk memanggil semula Tiong Lai.

Beberapa isu lain yang menjadi fokus PAC ketika ini melibatkan pertukaran status tanah, Tabung Haji, Khazanah Nasional Berhad, pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Sementara itu,Tiong Lai ketika ditemui memaklumkan, beliau telah memberi kerjasama penuh kepada PAC.

"Dua perkara yang saya perlu terangkan kepada PAC, pertama kenapa rundingan terus dengan syarikat.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin tegaskan kepada semua bahawa saya sebagai Menteri Pengangkutan menjawat pada 27 Jun 2014, projek ini telahpun dibincang oleh Kabinet sebelum ini dan saya perlu mengambil alih dan meneruskan tersebut.

"Saya sedia berkerjasama. Saya beritahu mereka (PAC) kalau mereka rasa perlukan bantuan saya, saya akan bantu. Saya nak lihat bahawa sistem pentadbiran negara kita lebih berkesan,"katanya.

Menerusi laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dibentangkan di Parlimen 3 Disember lalu, terdapat peningkatan drastik dalam perbelanjaan operasi pelaksanaan sistem yang bernilai RM149.45 juta itu.

Selain itu, turut dilaporkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diyakinkan oleh Tiong Lai bahawa kontraktor yang dilantik itu berkemampuan dan mempunyai kepakaran untuk projek tersebut.

Bagaimanapun, didapati kontraktor yang dilantik itu hanya mempunyai RM35.54 di dalam akaun dan bukannya RM2.3 juta seperti yang diperlukan.

Kelemahan lain yang ditemui berkaitan sistem itu ialah peralatan seperti kamera, palang tol dan alat pembaca di lorong tol bernilai RM4.07 juta masih belum dipasang.