Hotel bajet curi air diserbu

Pegawai SPAN mengambil gambar sebagai bukti air yang disyaki dicuri
Pegawai SPAN mengambil gambar sebagai bukti air yang disyaki dicuri
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah hotel bajet di daerah ini diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selepas disyaki membuat penyambungan air secara haram.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Norzita Ismail berkata, serbuan pada Selasa jam 11 pagi itu mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip Unplasticized Polyvinyl Chloride (UPVC) bersaiz 15 milimeter (mm).

"Penyambungan itu dilakukan tanpa melalui sebarang meter untuk kegunaan operasi harian hotel bajet tersebut.

"Pegawai penguat kuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di lokasi terbabit dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat

Menurutnya, SPAN telah menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu katanya, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan melibatkan pengguna komersial dan domestik.

"Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan Sains dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil ataupun Non Revenue Water (NRW)," katanya.