Wanita PBM minta PM kekal jawatan Zuraida

Daroyah
Daroyah
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita Parti Bangsa Malaysia (PBM) meminta pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan jawatan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk terus menerajui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

Ketuanya, Dr Daroyah Alwi berkata, cadangan itu perlu diperhalusi kerana Zuraida menunjukkan prestasi cemerlang selain PBM berpendirian untuk terus menyokong kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

"Zuraida perlu mengekalkan jawatannya bagi memastikan KPPK terus dipacu unggul mengikut perancangan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas mengenai tindakan Zuraida yang menyertai PBM, Daroyah berkata, kemasukan Zuraida mampu memperkasa kepimpinan dalam parti itu pada masa depan.

Jelas beliau, kenyataan media dikeluarkan Zuraida satu berita menggembirakan dan bakal memberi keuntungan kepada parti khasnya bagi sayap wanita.

"Perjuangan beliau (Zuraida) dalam memperkasa wanita tidak boleh disangkal kerana ia bermula sebagai aktivis, ahli politik, ahli Parlimen dan kini sebagai menteri.

"Beliau masih lagi teguh bersama usul perjuangan iaitu wanita di Malaysia harus diberikan pembelaan dan pemperkasaan sewajarnya," kata beliau.

Tambah Daroyah, Zuraida konsisten mempertahankan hak dan mengangkat martabat wanita di negara ini bukan sahaja dalam gelanggang dewan rakyat malah di peringkat antarabangsa.

Katanya, Zuraida juga merupakan satu-satunya pemimpin wanita Malaysia yang dilantik sebagai Duta Malaysia ke Sidang Kemuncak Women Political Leader (WPL) iaitu sebuah yayasan antarabangsa yang berpusat di Iceland dan dianggotai pemimpin politik wanita seluruh dunia.

Jelas beliau, kebolehan dan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran membantu mengangkat prestasi kementeriannya.

Daroyah memberitahu, ketegasan keperibadian dalam mempertahankan dan memperjuangkan setiap apa yang dibawa meyakinkan selain progresif dan intelek dalam membuat keputusan. ujarnya.

"Pengalaman bernilai Zuraida yang peduli dan peka terhadap nasib rakyat itu bakal menjadi aset berharga buat PBM," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Zuraida berhasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri KPPK selepas mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai PBM.

Bagaimanapun Zuraida berkata, beliau akan kekal menyokong kerajaan pimpinan Ismail Sabri selari dengan pendirian PBM.