Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia optimis bahawa pemulihan ekonomi akan terus berdaya tahan pada suku ketiga 2022 namun masih terdedah kepada risiko luaran dan tekanan menurun selepas merekodkan prestasi memberangsangkan pada suku pertama, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ini berasaskan indikator daripada indeks pelopor yang meningkat sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 111.3 mata sekali gus menunjukkan prestasi yang lebih baik dan menggalakkan dalam ekonomi Malaysia.

"Selain itu, Statistik Kecenderungan Perniagaan memperihalkan bahawa sentimen perniagaan kekal positif pada suku kedua 2022, manakala untuk enam bulan akan datang, sentimen peniaga optimistik terhadap prospek perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 5/2022 yang dikeluarkan DOSM pada Jumaat.

Mengulas senario sosioekonomi semasa, beliau berkata, kebanyakan negara telah mencatatkan prestasi yang lebih baik pada suku pertama 2022 yang menunjukkan pemulihan ekonomi sedang berlaku meskipun berhadapan pelbagai krisis global berterusan yang menyebabkan gangguan dalam rantaian bekalan, tekanan inflasi dan desakan untuk mengetatkan dasar monetari.

Kesatuan Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat merekodkan pengembangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan trend yang sama turut berlaku di rantau Asia melibatkan negara seperti China, Korea Selatan, Filipina dan Thailand, katanya.

"Bagi Malaysia, KDNK berkembang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus pada suku sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, beberapa petunjuk ekonomi utama negara mencatatkan trajektori positif pada suku pertama 2022.

Melihat kepada sektor luaran, imbangan akaun semasa kekal mencatatkan lebihan pada RM3.0 bilion, terutama disokong oleh eksport bersih akaun barangan, katanya.

Ketua Perangkawan berkata, prestasi pelaburan juga bertambah baik dengan pelaburan langsung asing (FDI) merekodkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi sebanyak RM24.4 bilion manakala pelaburan langsung di luar negara mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih rendah sebanyak RM3.6 bilion.

Beliau berkata, perdagangan terus merekodkan prestasi kukuh di mana jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 23.6 peratus kepada jumlah RM624.9 bilion.

"Petunjuk ekonomi utama lain turut mencatatkan peningkatan pada suku tahun ini. Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 4.5 peratus manakala indeks volum perkhidmatan tumbuh 7.1 peratus.

"Selari dengan perkembangan ekonomi pada suku pertama 2022, bilangan pekerja meningkat 2.2 peratus kepada 15.57 juta orang manakala kadar pengangguran menurun kepada 4.1 peratus dengan mencatatkan bilangan penganggur seramai 671.2 ribu orang," katanya.

Dari segi prestasi pada Mac 2022, Mohd Uzir berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian mencatatkan pertumbuhan 5.1 peratus berbanding dengan Mac 2021, disokong oleh indeks pembuatan yang meningkat 6.9 peratus dipacu oleh output berorientasikan eksport dan domestik.

Nilai jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 13.9 peratus kepada RM144.6 bilion, katanya.

Beliau berkata, bagi segmen harga, Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal melebihi purata inflasi Malaysia bagi tempoh 2011 hingga Mac 2022 (1.9 peratus).

"IHP bagi Mac meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun terutama disebabkan oleh kenaikan dalam kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

"Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan juga mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.6 peratus berbanding 9.7 peratus pada Februari 2022,” katanya. - Bernama