Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kenderaan

Mayat mangsa yang ditemui diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Pix ihsan JBPM
Mayat mangsa yang ditemui diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Pix ihsan JBPM
A
A
A

RAUB - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki berusia 47 tahun ditemukan meninggal dunia dalam sebuah trak pikap di bandar Raub Perdana di sini pada Jumaat.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Pahang, Penguasa Bomba, Shahrul Nizam Nasir memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 9.47 pagi.

Menurutnya, seorang pegawai dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat seorang lelaki dewasa tidak sedarkan diri di dalam trak pikap jenis Great Wall Wingle 5.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira lima minit membuka pintu dan pemeriksaan mendapati lelaki itu telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, pasukan terbabit seterusnya mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam kenderaan itu kira-kira jam 9.35 pagi.

Pemeriksaan polis mendapati mangsa dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dan tiada sebarang perlakuan jenayah dikesan.

"Mangsa yang beralamat di Pasir Gudang, Johor dihantar ke Unit Forensik Hospital Raub untuk tindakan lanjut dan ujian swab Covid-19.

"Berdasarkan maklumat, lelaki itu tidak mempunyai rekod sakit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.