Beri peluang masyarakat terlibat industri kulit, daging buaya

Wan Junaidi mencadangkan masyarakat tempatan diberi peluang menceburkan diri dalam industri kulit dan daging buaya sebagai satu cara mengawal populasi reptilia berkenaan di Sarawak.
Wan Junaidi mencadangkan masyarakat tempatan diberi peluang menceburkan diri dalam industri kulit dan daging buaya sebagai satu cara mengawal populasi reptilia berkenaan di Sarawak.
A
A
A

KUCHING - Masyarakat tempatan perlu diberi peluang untuk menceburkan diri dalam industri kulit dan daging buaya sebagai satu daripada pendekatan untuk mengawal populasi reptilia berkenaan di Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, penglibatan masyarakat ini boleh dilaksanakan menerusi kawalan dan bimbingan pihak berkuasa untuk membolehkan mereka menyertai industri yang mencatatkan keuntungan berbilion ringgit di peringkat global.

"Tiadakah perundangan dan sistem berkaitan pengawalan buaya ini bagi membolehkan ia (kulit dan daging buaya) diniagakan pihak tempatan yang memberi pulangan seperti yang dikehendaki oleh CITES (Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu merujuk kepada kekerapan berlakunya insiden serangan buaya di Sarawak dengan dua kejadian terbaharu melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Kampung Nyabut, Telaga Air dekat sini dan seorang lelaki 56 tahun di Sungai Ahong, Lundu, kedua-duanya di kawasan Parlimen beliau.

Wan Junaidi yang pernah menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum ini berkata, Sarawak berjaya dikeluarkan daripada Jadual Satu kepada Dua CITES ketika persidangannya di Johannesburg, Afrika Selatan pada 2016, susulan kebimbangan populasi buaya yang terlalu banyak di negeri itu.

Wan Junaidi berkata, apabila Sarawak berada dalam Jadual Dua CITES, pihak berkuasa negeri itu boleh menangkap dan membunuh buaya secara berkala dan sistematik bagi mengurangkan jumlah haiwan itu namun tidak mendatangkan kepupusan.

Biarpun sudah berada dalam Jadual Dua, beliau berkata, populasi reptilia ini masih tidak dapat dikawal sehinggakan serangan berlaku bukan sahaja di kawasan pedalaman malah turut berlaku di kawasan bandar.

"Dengan jumlah buaya yang banyak, sudah pasti selagi adanya saliran air, longkang, parit, sungai dan kuala, pasti akan ada buaya dan adanya mangsa,” katanya.

Susulan itu, beliau meminta agensi kerajaan yang berkaitan melaksanakan satu langkah proaktif dan holistik bagi memastikan kejadian serangan buaya ini tidak berulang lagi.

"Saya mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden melibatkan haiwan reptilia itu tidak mengganggu kehidupan penduduk Sarawak,” tambah beliau yang turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dua kejadian terbaharu itu. - Bernama