Koperal mengaku tidak salah terima rasuah RM16,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua tuduhan utama dan pilihan menerima rasuah berjumlah RM16,000 Februari lalu.

Azrol Khalil, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah menerima wang berjumlah RM16,000 daripada seorang lelaki berusia 50 tahun.

Ia sebagai dorongan untuknya selaku anggota polis menutup kes jenayah komersil terhadap individu yang sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Dia yang kini bertugas di bahagian pentadbiran didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Taman Prima, Sri Gombak di sini pada 7 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), dan boleh di hukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan pilihan, Azrol didakwa sebagai penjawat awam menerima suatu barang berharga atau wang tunai dengan jumlah yang sama pada tarikh dan lokasi sama tanpa sebarang balasan.

Bagi pertuduhan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noryusriza Zulkifli mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke pejabat SPRM serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun peguam P G Cyril yang mewakili tertuduh, memohon agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan perlu menanggung isteri serta tiga anak tirinya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM Selangor setiap bulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes.