PM bertemu pemimpin perniagaan utama Jepun di Tokyo

Ismail Sabri (tengah) bersama Tsuyoshi Nagano (dua, kanan) yang mewakili Persatuan Ekonomi Jepun Malaysia (JAMECA) ketika mengadakan sesi perniagaan tertutup bersama pemimpin-pemimpin perniagaan utama Jepun pada pagi Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) bersama Tsuyoshi Nagano (dua, kanan) yang mewakili Persatuan Ekonomi Jepun Malaysia (JAMECA) ketika mengadakan sesi perniagaan tertutup bersama pemimpin-pemimpin perniagaan utama Jepun pada pagi Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertemu pemimpin-pemimpin perniagaan utama Jepun dalam sesi perniagaan tertutup pada pagi Jumaat dengan beliau mendengar penuh perhatian bagi meneroka potensi minat mereka selanjutnya terhadap Malaysia.

Pemimpin-pemimpin perniagaan itu adalah dari Mitsubishi Power Ltd, Persatuan Ekonomi Jepun Malaysia (JAMECA), Rohm Wako Co Ltd dan Mitsui Fudosan & Co Ltd.

Dalam pertemuan itu, para pemimpin perniagaan Jepun antara lain memaklumkan perkembangan terkini mengenai operasi dan aktiviti mereka di Malaysia kepada Ismail Sabri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Power Ltd, Hideshi Kawamoto berkata, beliau menjelaskan mengenai penyelesaian kuasa turbin gas kecekapan tinggi terkini oleh Mitsubishi.

JAMECA pula mengemukakan cadangan untuk menganjurkan seminar Dasar Pandang ke Timur pada Ogos di Malaysia.

Presiden JAMECA, Tsuyoshi Nagano berkata, pihaknya akan menekankan usaha untuk mendapatkan penyertaan generasi muda Jepun dan Malaysia supaya hubungan dua hala ini akan terus dapat dipertingkatkan.

"Saya amat percaya masa depan (hubungan ini) sangat kuat...terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi kedua-dua negara, jadi kita perlu memberi tumpuan kepada generasi baharu untuk mewujudkan pemimpin baharu di kedua-dua negara,” katanya yang juga Pengerusi Tokio Marine Holdings Inc ketika ditemui pemberita Malaysia.

JAMECA ditubuhkan pada 1977 dengan antara objektifnya untuk memupuk persahabatan dan menggalakkan hubungan ekonomi yang rapat dan harmoni antara Jepun dan Malaysia.

Ia juga bertujuan menggalakkan persefahaman yang lebih mendalam antara sektor swasta Jepun dan Malaysia mengenai dasar dan situasi ekonomi negara masing-masing.

Semasa sesi pertemuan dengan Rohm Wako Co Ltd, Ismail Sabri turut menyaksikan penyerahan Surat Kelulusan Insentif kepada Rohm Wako.

Ini susulan Rohm Wako mencadangkan rancangan bernilai hampir RM1 bilion untuk memperluas kemudahan pembuatan semikonduktornya yang kini di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam pertemuan itu, Rohm Wako diwakili oleh Pengasas dan Pengerusi, Datuk Yosuke Yoshioka dan Presiden, Hirofumi Yoshioka.

Ismail Sabri berada di Tokyo selama enam hari bermula Isnin lepas bagi mengadakan lawatan kerja rasmi sulungnya ke Jepun sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada Ogos 2021.

Beliau juga menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-27 atau dikenali sebagai Persidangan Nikkei pada Khamis. - Bernama