Sila log masuk terlebih dahulu.

Jepun longgar amaran perjalanan untuk 36 negara

Jepun melonggarkan amaran perjalanan daripada Tahap 2 kepada Tahap 1 untuk 36 negara. - Foto 123RF
Jepun melonggarkan amaran perjalanan daripada Tahap 2 kepada Tahap 1 untuk 36 negara. - Foto 123RF
A
A
A

TOKYO - Jepun pada Khamis melonggarkan amaran perjalanan daripada Tahap 2 kepada Tahap 1 untuk 36 negara dan kawasan, termasuk Amerika Syarikat, Britain, Kanada dan Hong Kong.

Selain itu, rakyat Jepun juga dibenarkan melakukan perjalanan tidak penting ke negara dan kawasan terbabit.

Menurut Kementerian Luar, 36 negara itu turut termasuk Thailand, Vietnam, Singapura dan Malaysia, lapor Agensi Berita Kyodo.

Nasihat perjalanan untuk 15 lagi negara dan kawasan lain pula diturunkan daripada Tahap 3 kepada Tahap 2, antaranya tujuh di Timur Tengah dan Afrika, enam di Eropah dan dua di Amerika Latin.

Sebelum ini, Jepun mengeluarkan nasihat perjalanan susulan pandemik Covid-19.

"Secara keseluruhannya, dunia kini melihat trend penurunan dalam jumlah kes jangkitan baharu dan kematian, dan risiko mengalami simptom teruk serta kematian juga semakin berkurangan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, 109 negara dan wilayah kekal di bawah amaran Tahap 2, termasuk 30 di Asia, seperti China, Korea Selatan dan India, serta 35 negara Eropah, termasuk Jerman, Perancis dan Itali.

Pada masa sama, 41 negara kekal pada Tahap 3. - Bernama

Artikel Berkaitan: